Malaysia, Pakistan setuju bawa pulang rakyat terkandas
PUTRAJAYA - Malaysia dan Pakistan bersetuju untuk membawa pulang rakyat masing-masing yang terkandas di kedua-dua negara secepat mungkin.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, perkara itu antara isu yang dibincangkan dalam perbualan telefon antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatnya dari Pakistan, Makhdoom Shah Mahmood Qureshi pada 1.30 tengah hari ini.
Dalam konteks ini, Wisma Putra berkata, Hishammuddin telah meminta kerajaan Pakistan memastikan rakyat Malaysia di Pakistan diberi bantuan yang diperlukan dan memudahkan pergerakan mereka untuk menaiki penerbangan khas Pakistan International Airlines (PIA) dari Islamabad ke Kuala Lumpur Sabtu ini (11 April).
Hishammuddin juga berkata, kerajaan Malaysia akan menghulurkan bantuan yang diperlukan dalam proses penghantaran balik lebih 300 rakyat Pakistan menerusi penerbangan PIA ke Pakistan, kata kenyataan itu.
"Kedua-dua menteri luar negara itu menzahirkan penghargaan mereka terhadap kerajaan masing-masing untuk bantuan yang diberikan dalam masa yang mencabar ini terhadap diaspora masing-masing yang tinggal di Malaysia dan Pakistan," kata Wisma Putra.
Wisma Putra berkata, kedua-dua menteri luar negara juga bersetuju adalah penting bagi Malaysia dan Pakistan bekerjasama selaras dengan usaha untuk membendung penularan dan mengurangkan kesan koronavirus (Covid-19).
Katanya, kedua-dua Menteri luar Malaysia dan Pakistan itu juga mengulangi komitmen mereka untuk menangani pandemik itu demi kepentingan strategi kedua-dua negara serta dunia.
Wisma Putra berkata, kedua-dua Menteri Luar dalam perbualan telefon itu turut mengambil perhatian mengenai hubungan dua hala dan kerjasama erat yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan Pakistan dalam usaha untuk membawa hubungan ke tahap lebih tinggi.
Katanya, mereka juga membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai berkepentingan dan kebimbangan bersama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!