Autisme: Ibu bapa perlu lebih peka

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh (dua, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Danajamin Nasional Berhad, Mohamed Nazri Omar (kiri) menyempurnakan pelepasan larian Danajamin Mighty Run 2018 di Taman Perdana Botani Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh (dua, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Danajamin Nasional Berhad, Mohamed Nazri Omar (kiri) menyempurnakan pelepasan larian Danajamin Mighty Run 2018 di Taman Perdana Botani Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Ibu bapa perlu lebih peka dengan tingkah-laku anak-anak mereka bagi memastikan simptom gejala autisme dapat dikesan lebih awal.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata kerana kegagalan mengesan tanda-tanda itu di peringkat awal menyebabkan hanya 20,000 individu yang mempunyai gejala autisme berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berbanding anggaran 300,000 yang berdepan masalah itu di seluruh negara ketika ini.

“Sesetengah ibu bapa tidak dapat mengenal pasti simptom autisme, menyebabkan mereka beranggapan anak mereka hanya belajar dengan lebih perlahan berbanding kanak-kanak lain dan ada juga ibu bapa yang tidak mahu mendaftarkan anak mereka sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Kami juga berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat membantu menyebarkan kesedaran mengenai autisme di kawasan luar bandar dan menjadikan ujian saringan pengesanannya boleh diakses dengan lebih mudah oleh lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya yang ditemui selepas program Danajamin Mighty Run 2018, di sini hari ini.

Yeoh berkata ibu bapa yang ingin menjalankan ujian saringan pengesanan simptom autisme boleh melakukannya di hospital kerajaan dan swasta yang mempunyai kepakaran di mana ia boleh dikesan seawal usia 18 bulan bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan.

Ibu Bapa Perlu Lebih Peka Simptom Gejala Autisme

Dalam pada itu, Danajamin Mighty Run 2018, yang telah dianjurkan buat kali ketiga bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap autisme, telah disertai 2,500 peserta dan berjaya mengutip RM110,000 bagi disumbangkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Sumbangan berkenaan telah disampaikan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Danajamin Mohamed Nazri Omar kepada Pengerusi NASOM Feilina Feisol.

“Acara seperti ini sememangnya dapat membantu NASOM untuk mempertingkatkan kesedaran orang ramai mengenai autisme,” kata Yeoh.
Artikel Berkaitan:


Dalam dua program Danajamin Mighty Run sebelum ini iaitu pada 2016 dan 2017, sumbangan kepada NASOM telah membantu persatuan itu untuk menambah baik Pusat Vokasionalnya di Bandar Puteri, Kelang dan membina bilik Snoezelen, iaitu kemudahan untuk terapi individu dengan gejala autisme, di pusat pencegahannya (early intervention centre), di Gombak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!