Lanjutan PKP: KKM akan keluarkan cadangan kepada Kabinet
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan cadangan kepada Kabinet berhubung keperluan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berakhir Selasa depan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian mempunyai beberapa pilihan namun keputusannya bergantung kepada Kabinet dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"KKM bersandar kepada fakta dan sains jadi bukan bergantung kepada pendapat saya," katanya.
Menurutnya, kementerian sedang merangka modul baru dalam menjangkakan penularan wabak itu.
"Kita telah melihat laporannya dan memerlukan sehari dua untuk analisa data," katanya.
Beliau berkata, KKM memantau rapat perkembangan setiap hari.
"Setahu KKM, tidak ada perkembangan mendadak yang dilihat dalam kes ini.
"Walaupun kita tidak menang dan tidak lagi kalah dalam memerangi wabak ini, apa yang penting adalah untuk kita monitor rapat dan perlu ada proposal," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini koronavirus (Covid-19) di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata sedemikian ketika ditanya mengenai pendapatnya mengenai keperluan PKP dilanjutkan ataupun tidak.
PKP dilaksanakan di seluruh negara bermula 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian penyebaran Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!