Kelemahan Pakej-pakej Prihatin
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan dua pakej rangsangan ekonomi iaitu Prihatin pada 27 Mac 2020 dan Prihatin Plus pada 6 April lepas sebagai respon kerajaan terhadap krisis ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Walaupun kedua-dua pakej itu mensasarkan kelompok yang betul berbanding respon yang lebih awal, kedua-dua pakej ini masih bukan anjakan paradigma dasar ekonomi yang diperlukan untuk mengatasi krisis ini sebagaimana saya tulis sebelum pengumuman pakej Prihatin yang pertama.
Dalam kebanyakan krisis ekonomi yang kita hadapi sebelum ini, selalunya tauke atau pemegang yang diselamatkan menggunakan wang rakyat, manakala golongan pekerja diketepikan.
Ini bukan bermakna kita mahu syarikat gulung tikar tetapi fokus dasar-dasar yang digaris haruslah untuk menyokong pekerjaan agar ekonomi kita boleh bangkit dari krisis.
Memperbaiki subsidi upah
Peningkatan subsidi upah sehingga RM1,200 adalah dialu-alukan tetapi masih rendah berbanding negara lain. United Kingdom (UK) membayar 80 peratus (maksimum GBP2,500 atau RM13,400) manakala bantuan bayaran upah Singapura di antara 25 peratus sehingga 75 peratus mengikut sektor (untuk gaji kasar di bawah SGD4,600).
Program subsidi upah harus merangkumi semua perusahaan kecil dan sederhana dengan sama rata, tanpa mengira saiz. Tempoh subsidi gaji harus dipanjangkan kepada sekurang-kurangnya enam bulan, bukan tiga bulan.
Masalah kadar upah terlalu rendah sudah berlarutan di negara kita sekian lama. Tanpa pemikiran berani oleh kerajaan, selepas pandemik Covid-19 berakhir, seperti kebanyakan krisis ekonomi sebelum ini, kelompok pekerja bawahan akan terus ketinggalan.
Memastikan golongan bekerja sendiri tidak ketinggalan
Kita juga tak boleh melupakan mereka yang bekerja sendiri. Langkah-langkah semasa menangani bantuan untuk pemandu e-hailing, teksi dan pinjaman kecil untuk perniagaan yang diusahakan sendiri. Selain itu, mereka perlu bergantung kepada bantuan yang diberikan di bawah Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Sejak 2017, Perkeso telah memulakan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk mereka yang bekerja sendiri. Cuma, setakat Januari tahun ini, hanya kira-kira 50,000 rakyat Malaysia telah mendaftar dengan skim ini.
Krisis ini merupakan peluang bagi kerajaan untuk mengalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang bekerja sendiri untuk mendaftar dan dilindungi di bawah SKSPS. Perkeso juga dapat memperluas manfaat yang diberikan kepada mereka yang bekerja sendiri.
Menguruskan data dengan baik
Kembali ke BPN - walaupun ia membantu memberikan wang tunai di tangan rakyat Malaysia untuk memacu pertumbuhan ekonomi - perubahan penting diperlukan untuk menjadikannya lebih berkesan.
Kecoh di internet apabila Datin Seri Rosmah Mansur, isteri Datuk Seri Najib Razak layak mendapat RM800 di bawah BPN setelah disemak pada laman web rasmi BPN. Portal ini diuruskan oleh LHDN, menggunakan rekod cukai.
Ini menimbulkan masalah pengiraan kelayakan BPN berdasar rekod cukai, sama ada pentaksiran cukai dibuat berasingan atau berpasangan.
Pada zaman data raya dan analitik, sudah tiba masanya kerajaan melihat dasar data dengan serius - melindungi data dan pada masa yang sama mengintegrasikan pelbagai sumber data kerajaan: JPN, LHDN, DOSM dan lain-lain lagi.
Sudah tiba idea UBI dipertimbangkan
Pada skala yang lebih besar (dan untuk jangka masa panjang), kita patut mengambil kesempatan untuk memperkenalkan Pendapatan Asas Sejagat (UBI) untuk menggantikan Bantuan Sara Hidup/BPN.
Sebelum Covid-19, masyarakat sudah bergelut dengan pengangguran. Mengapa kita tidak melihat UBI sebagai penyelesaian? Ini akan membuang birokrasi yang keterlaluan yang ada pada pelbagai skim kerajaan dan menjadi bantuan yang sangat diperlukan untuk kelompok yang terpinggir.
Sepanyol merancang untuk melaksanakan UBI dalam menghadapi Covid-19 dan merancang untuk meneruskannya secara kekal selepas pandemik Covid-19.
Sudah tiba masanya untuk negara-negara di dunia melihat UBI secara serius. Pembuat dasar tanah air tidak boleh menolaknya dengan mudah lagi.
Kita berdepan perang. Disiplin fiskal adalah perkara kedua berbanding keperluan membangkitkan semula ekonomi. Pada Perang Dunia Kedua, negara-negara seperti Amerika Syarikat, UK, Jerman dan Jepun bangkit menerusi dasar-dasar yang berani dan memandang ke depan.
Sebagaimana nama dasar yang diumumkan Kerajaan, bersikap prihatin atau peduli kepada golongan yang paling lemah bukan semata-mata tindakan berperikemanusiaan, tetapi cara terbaik memacu ekonomi kita ke depan.
* Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri serta Ahli Parlimen Setiawangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!