Berfikiran positif sepanjang PKP
KEBEBASAN adalah satu nikmat yang tidak terungkap dengan kata-kata. Baik manusia atau binatang, malah semua mahkluk ALLAH di bumi ini pasti mahukan kebebasan.
Namun, sedikit daripada kebebasan kita telahpun disekat semenjak kehadiran koronavirus (Covid-19). Adakah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu buat anda tertekan?
Untuk hidup bahagia dan ceria sepanjang masa kita perlu sentiasa melihat sesuatu itu dari kaca mata positif. Dengan kata lain, kita sentiasa bersangka baik (husnuzzan) dengan ALLAH. Yakin bahawa apa yang ALLAH takdirkan ini tiada buruknya melainkan ada hikmah tersirat dan sentiasa terbaik untuk kita.
Dalam satu tulisan Ustaz Ammi Nur Baits dalam blognya Konsultasisyariah.com, beliau menyatakan (dengan sedikit ubah suai): “Inti daripada husnuzzan kepada ALLAH adalah membangun keyakinan sesuai dengan keagungan nama dan sifat ALLAH dan membangun keyakinan sesuai dengan konsekuensi daripada nama dan sifat ALLAH.”
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya.
Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Apabila seseorang mukmin itu memperoleh kebaikan, dia terus bersyukur kepada ALLAH dan itu baik baginya. Jika dia ditimpa keburukan, dia bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)
Justeru, marilah kita sama-sama menggunakan masa yang ada dalam tempoh PKP untuk melakukan sesuatu yang memberikan kebaikan kepada kita dan juga kepada orang lain.
Sebenarnya banyak yang kita boleh buat semasa PKP ini untuk membahagiakan diri kita dan orang lain.
Untuk diri kita, antaranya ialah kita belajar membuat sesuatu yang terbaik untuk ALLAH dan Rasulullah SAW. Kita beri masa untuk ALLAH dengan beribadat sebaik-baiknya dan membaca al-Quran dan meneliti kitab-kitab tafsir. Kita bagi masa untuk Rasulullah SAW dengan berselawat kepadanya dan meneliti hadis-hadisnya.
Antara nikmat PKP adalah kita sentiasa bersama keluarga kita. Sudah puluhan tahun kita tidak dapat melayani anak-anak, suami atau isteri kita dengan cara yang terbaik kerana kesibukan kita di luar sana. Dengan PKP ini, kita boleh solat berjemaah, masak dan bermain bersama-sama serta macam-macam lagi ikut kreativiti kita.
Untuk menceriakan orang lain pula, banyak yang kita boleh buat. Antaranya tidak menyebarkan berita palsu sehingga membuatkan orang lain panik dan berada dalam ketakutan.
Kita juga boleh ceriakan orang lain dengan cara tidak pentingkan diri sendiri. Misalnya, semasa membeli barang keperluan, kita tidak membeli dalam jumlah yang sangat banyak sehingga tiada yang tinggal untuk orang lain.
Jika membeli, belilah juga untuk jiran terdekat dengan bertanya keperluannya. Ini boleh mengurangkan bilangan orang yang berkunjung ke pusat beli-belah.
Selain itu, jika kita ada kemampuan kewangan, bantulah mereka yang memerlukan. Ceriakan mereka dengan meringankan sedikit kesukaran hidup mereka meskipun kita tidak mampu mengangkat keseluruhan kesukaran daripada hidup mereka.
Kita juga boleh gembirakan orang lain dengan tidak mengatakan suatu yang buruk terhadap apa yang orang lain mampu buat sepanjang PKP. Tidak perlu sibukkan diri menilai amalan orang.
Husnuzzan dengan sesama Muslim lebih baik daripada menuduh yang bukan-bukan. Menambah dosa kering sahaja jika apa yang kita kata itu tidak benar. Akhir kalam, marilah buat yang terbaik untuk kita dan orang lain.
Wallahu a’lam.
* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!