Da Sylva mahu pertahankan status penjaring terbanyak

Da Sylva meraikan jaringan pada aksi berdepan Kedah di Stadium Darul Aman, 7 Mac lalu. - Foto Terengganu fc.com
Da Sylva meraikan jaringan pada aksi berdepan Kedah di Stadium Darul Aman, 7 Mac lalu. - Foto Terengganu fc.com
A
A
A

PENYERANG import Terengganu FC (TFC), Dominique Da Sylva mahu mengekalkan status selaku penjaring terbanyak CIMB Liga Super 2020 sebaik Liga Malaysia (Liga-M) kembali bersambung seandainya pandemik Covid-19 di negara ini berakhir kelak.

Pemain kelahiran Senegal berusia 30 tahun itu berkata, dia sendiri tidak menyangka mampu muncul selaku penjaring terbanyak dengan empat gol setakat ini hasil kejayaannya meledak empat jaringan pada aksi berdepan Kedah di Stadium Darul Aman, 7 Mac lalu.

Menurutnya, pencapaian berkenaan dilihat sebagai satu permulaan yang cukup baik untuk dirinya yang baru kali pertama beraksi dalam saingan bola sepak di negara ini.

“Saya juga tidak sangka dapat mempamerkan prestasi sebegitu ketika menentang Kedah dan empat jaringan yang diperoleh itu adalah hasil kerjasama rakan sepasukan.

“Sudah pasti, saya optimis untuk terus menjaringkan lebih banyak gol dalam perlawanan akan datang tetapi fokus utama saya untuk musim pertama ini biarlah terarah kepada pasukan dahulu dan tidak kira siapa pun yang meledak gol, asalkan kemenangan berpihak kepada kami,” katanya.

Ledakan empat gol Da Sylva ketika menewaskan skuad Lang Merah itu 4-3, 7 Mac lalu itu sekali gus meletakkannya selaku penjaring terbanyak Liga Super ketika ini dengan empat gol diikuti penyerang Kedah, Kpah Sherman, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak), Ivan Carlos (Pahang) dan Ifedayo Olesegun (Selangor) masing-masing dengan tiga gol.

Untuk rekod, Da Sylva dipilih beraksi bersama skuad penyu bagi menggantikan penyerang import, Tchetche Kipre yang berhijrah mewakili Kedah musim ini.

Sementara itu menurut Da Sylva, dia berasa cukup berbangga beraksi dalam saringan Liga-M berikutan penerimaan peminat yang sentiasa memberi sokongan luar biasa walaupun dia baru sahaja hadir ke negara ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkara berkenaan nyata satu keistimewaan yang ada dalam saingan Liga-M dan sekali gus menjadikannya lebih bersemangat untuk beraksi lebih baik.

“Inilah bezanya yang saya rasai jika nak dibandingkan di kelab lama saya ketika di Vietnam, Cyprus dan Mesir iaitu sokongan luar biasa daripada penyokong yang begitu mengalu-alukan kehadiran saya.

“Walaupun saya masih baru dalam Liga M, tetapi mereka begitu ghairah menyokong selain percaya akan kemampuan saya dan kerana itulah, saya tidak mahu mengecewakan mereka dan ini membuatkan saya lebih fokus serta lebih bersemangat untuk memberi kemenangan kepada pasukam.

“Cuma ketika ini apabila kami sedang bersemangat untuk terus beraksi, saingan terpaksa ditangguh untuk sementara dan sudah tentu cabaran utama adalah untuk pemain kekalkan prestasi. Cuma yang pasti, saya tidak akan berputus asa, dan tetap bersemangat untuk kembali beraksi bagi mencipta lebih banyak kejutan bersama pasukan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!