Semua orang salah kecuali Trump!
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi memperlihatkan keangkuhannya apabila mengancam untuk membekukan dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pemimpin negara Uncle Sam itu mengancam membekukan dana kepada WHO selepas menuduh pertubuhan dunia terbabit menyembunyikan maklumat berkenaan koronovirus (Covid-19) di Wuhan dan tersilap jangka tentang penyebaran wabak itu di China.
Bercakap ketika taklimat media Rumah Putih kelmarin, Trump mendakwa WHO ‘terlepas pandang’ tanda-tanda awal virus tersebut meskipun menghantar pasukan ke Wuhan selain menganggap WHO terlalu mementingkan China.
Pada awalnya Trump dilihat bertegas akan membekukan dana tersebut, namun apabila diasak persoalan sama ada AS patut meneruskan langkah itu pada ketika pandemik Covid-19 telah meragut lebih 83,000 nyawa di seluruh dunia, presiden berusia 74 tahun itu kemudian ‘melembutkan’ ancamannya.
“Saya tidak mengatakan saya akan melakukannya, namun akan mempertimbangkannya. WHO kelihatan amat mementingkan China dan kita akan meneliti perkara itu memandangkan kita menyumbangkan majoriti wang yang mereka terima,” kata presiden itu.
Hal tersebut merupakan salah satu contoh yang menunjukkan Trump sering berbolak-balik dalam percakapan beliau walaupun dalam sidang media yang sama.
Terkenal sebagai pemimpin dunia yang gemar menggunakan laman Twitter untuk meluahkan perasaan, Trump turut tidak ketinggalan memuat naik ketidakpuasan hatinya berhubung isu WHO.
Tuding jari
Yang pasti, sikap Trump yang gemar menyalahkan orang lain kecuali diri sendiri semakin ketara. Walaupun pada Februari dan Mac lalu sebelum Covid-19 melonjak tinggi di AS, Trump dengan penuh angkuh mengatakan penduduk negara Uncle Sam itu tidak perlu risau kerana virus Covid-19 akan perlahan-lahan hilang.
“Ia akan hilang. Suatu hari ia seperti keajaiban, ia akan hilang,” kata Trump pada satu sidang media Februari lalu.
Tindakan Trump mengambil mudah dan memandang rendah mengenai Covid-19 dikecam hebat media negara itu, yang kembali menyiarkan ucapan-ucapan lama presiden itu.
Kini, Trump mula menuding jari kepada orang lain. Beliau berulang kali menegaskan jumlah pesakit Covid-19 di AS yang kini mencecah 400,549 orang sekali gus paling tinggi di dunia, bukanlah kesalahannya.
Portal berita The Guardian melaporkan Trump meletakkan kesalahan tersebut kepada China, WHO, pentadbiran Presiden Obama malah menyalahkan pihak media.
Tidak cukup sampai di situ, Trump turut mengecam WHO kerana menentang keputusan beliau pada Januari lalu untuk mengenakan larangan ke atas penerbangan dari China ke AS.
New York Times melaporkan Trump dan pentadbirannya mengenakan larangan perjalanan itu setelah wabak tersebut menular ke serata China selama berminggu-minggu dan ia termasuk pengecualian membenarkan sejumlah 40,000 orang melakukan penerbangan terus dari China ke AS.
Namun Trump mendabik dada mengatakan larangan tersebut merupakan langkah berani yang dilakukan oleh pentadbirannya bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Dalam pada itu, sebagai pertubuhan dunia yang bertanggungjawab untuk kesihatan awam antarabangsa, WHO menerima sumbangan dana daripada 194 negara bagi menampung bajet berjumlah kira-kira AS$4.8 bilion (RM21 bilion). Tidak dapat dinafikan AS merupakan penyumbang terbesar.
Namun, adakah dengan gelaran penyumbang terbesar itu Trump merasakan layak untuk beliau membuat ancaman terhadap WHO. Dilaporkan Presiden AS itu telah mencadangkan kepada Kongres untuk memotong separuh dana kepada WHO bagi tahun fiskal 2021.
Ia sekali gus bakal mengurangkan pembiayaan daripada hampir AS$122 juta (RM530 juta) kepada kurang daripada AS$58 juta (RM252 juta).
Menurut Bajet 2020-2021 WHO, AS sepatutnya menyumbang AS$58 juta (RM251.7 juta) yang harus dibayar pada 1 Januari 2020 dan sejumlah AS$58 juta (RM251.7 juta) yang harusnya dibayar pada 1 Januari 2021, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak AS$115 juta (RM503.5 juta).
Hutang AS
Ironinya, di sebalik nama besar sebagai anggota tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan penyumbang terbesar kepada WHO pada tahun lalu dengan sumbangan melebihi AS$400 juta (RM1.7 bilion), AS sebenarnya patut berasa malu dengan ugutan Trump itu.
Berdasarkan pendedahan Ketua Pengurusan PBB, Catherine Pollard baru-baru ini, sejumlah 128 negara telah membayar AS$1.99 bilion (RM8.66 bilion) untuk bajet operasi PBB bagi tahun 2019.
Namun, katanya, sehingga kini PBB yang turut menaungi WHO belum menerima sejumlah AS$1.386 bilion (RM6.03 bilion) lagi sumbangan daripada 65 negara dengan lebih daripada AS$1 bilion (RM4.35 bilion) gagal dibayar oleh AS sendiri.
Berdasarkan angka yang diberikan oleh Pollard, AS berhutang AS$1.055 bilion (RM4.59 bilion) untuk bajet tahunan PBB, AS$674 juta (RM2.93 bilion) untuk tahun 2019 dan AS$381 juta (RM1.6 bilion) untuk bajet terdahulu selain turut berhutang AS$3.7 bilion (RM16.09 bilion) untuk bajet berasingan 14 operasi keamanan PBB.
Pada ketika dunia sedang berhempas-pulas cuba menangani wabak berbahaya Covid-19, Trump yang sebelum ini dikecam pelbagai pihak kerana bersikap tidak acuh terhadap virus pembunuh itu seharusnya lebih memfokuskan kepada usaha menyelamatkan nyawa rakyatnya.
Jutawan hartanah itu juga harus berterima kasih kepada China yang telah menghantar ventilator dan peralatan perubatan ke AS bagi membantu negara itu berdepan dengan krisis kesihatan yang semakin meruncing. Dalam sehari kini terdapat hampir 2,000 rakyat AS mati kerana wabak Covid-19.
Menjawab soalan berhubung ancaman terbaharu Trump itu, Pengarah Serantau WHO untuk Eropah, Dr Hans Kluge menegaskan ketika ini dunia masih berada dalam fasa akut pandemik dan ini bukan masa sesuai untuk memotong dana tersebut.
Penyumbang utama tabung WHO
*Amerika Syarikat
*Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
*Korea Selatan
*Australia
*Yayasan Gates
*Jepun
*GAVI Alliance
*National Philanthropic Trust
*United Kingdom
*New Zealand
*Bloomberg
*Suruhanjaya Eropah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!