Sanggup gadai nyawa demi emas

Kawasan perlombongan emas haram yang dikesan JPNP di Hutan Simpan Ibam, Rompin. - Foto ihsan JPNP
Kawasan perlombongan emas haram yang dikesan JPNP di Hutan Simpan Ibam, Rompin. - Foto ihsan JPNP
A
A
A

KUANTAN - Seorang warga emas ditahan selepas dikesan berada dalam terowong bawah tanah yang dibina di Hutan Simpan Ibam Rompin kelmarin, bagi tujuan mendapatkan emas secara haram.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, tindakan lelaki warga Indonesia berumur 68 tahun itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mendedahkannya kepada bahaya.

Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan jam 1.15 petang ketika menjalankan aktiviti haram itu yang dipercayai didalangi beberapa individu lain yang mahir dengan kegiatan mencari emas.

"Kumpulan ini turut menggunakan pelbagai kelengkapan moden. Saya percaya mereka yang terlibat mempunyai kemahiran dan pengalaman luas dalam bidang pencarian serta lombong emas ini.

"Kita juga mendapati lelaki itu berada dalam hutan simpan tanpa permit, melakukan aktiviti cari gali emas tanpa kebenaran dan akan didakwa mengikut Seksyen 32 dan 47 Akta Perhutanan Negara 1984," katanya ketika dihubungi hari ini.

Lelaki berkenaan direman selama 14 hari bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

Pelbagai peralatan cari gali emas turut dirampas. - Foto ihsan JPNP
Pelbagai peralatan cari gali emas turut dirampas. - Foto ihsan JPNP

Mengulas lanjut Mohd Hizamri berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan cari gali emas antaranya enjin kuasa elektrik, enjin pam air, jengkaut dan dua motosikal termasuk mesin pengasingan emas.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan peralatan yang dirampas katanya, membuktikan ahli sindiket terbabit sanggup mengeluarkan modal besar untuk menjalankan kegiatan itu.

Katanya, semua rampasan berkenaan disimpan di Pusat Simpanan Barangan Rampasan JPNP di Pejabat Ladang Hutan Kemasul, Mentakab.

Sementara itu, Mohd Hizamri menegaskan bahawa pihaknya giat menjalankan penguatkuasaan dan rondaan di kawasan panas bagi membendung kegiatan mencuri balak dan melombong emas secara haram meskipun negara ketika ini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya, selain kes di Hutan Simpan Ibam, pihaknya berjaya mengesan kes melombong emas secara haram di Hutan Simpan Aur Gading dan Hutan Simpan Ulu Jelai, Kuala Lipis serta memberkas tiga individu.

"Jadi, jangan fikir kita (penguatkuasa) daerah dan negeri sedang berehat. Kami sebenarnya sedang berusaha membendung kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!