Hari pertama Wuhan, 620,000 orang guna pengangkutan awam
WUHAN - Jumlah pengguna pengangkutan awam di Wuhan melebihi 620,000 pada semalam, sehari selepas bandar raya itu menarik balik perintah lockdown yang dikuatkuasakan selama 76 hari, lapor agensi berita Xinhua.
Jabatan pengangkutan bandar raya itu berkata, 346 laluan bas dan bot, tujuh laluan kereta api bawah tanah serta teksi kembali beroperasi selepas permintaan terhadap pengangkutan awam meningkat susulan lockdown ditarik balik.
"Lebih 624,300 penumpang menggunakan pengangkutan awam di bandar raya ini bermula tengah malam sehingga 5 petang semalam termasuk 184,000 menaiki bas, 336,300 pengguna kereta api bawah tanah dan 104,000 menaiki teksi," menurut jabatan itu.
Jumlah penumpang yang keluar dan masuk ke bandar raya itu juga menyaksikan peningkatan dengan 52,000 orang meninggalkan Wuhan menggunakan kereta api, bas dan kapal terbang manakala 31,000 lagi memasuki bandar itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!