Covid-19: Hampir separuh responden bekerja sendiri hilang pekerjaan

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

PUTRAJAYA - Hampir separuh atau 46.6 peratus responden yang bekerja sendiri menyatakan kehilangan pekerjaan dan dianggarkan sembilan daripada 10 responden yang masih bekerja mengalami pengurangan pendapatan daripada biasa, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, dapatan itu adalah hasil kaji selidik khas kesan koronavirus (Covid-19) terhadap Ekonomi dan Individu (Pusingan Satu) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan.

Kaji selidik itu disertai seramai 168,182 responden yang berumur 15 tahun ke atas secara dalam talian bermula 23 hingga 31 Mac yang lepas.

Katanya, dapatan kaji selidik itu juga mendapati sektor pertanian dan perkhidmatan mencatat peratusan kehilangan pekerjaan yang lebih tinggi berbanding sektor lain bagi kesan daripada Covid-19, masing-masing sebanyak 21.9 peratus dan 15.0 peratus.

"Bagi sektor pertanian, 33.0 peratus pekerja di sub sektor perikanan melaporkan kehilangan pekerjaan manakala sektor pertanian dan perladangan sebanyak 21.1 peratus.

"Bagi sektor perkhidmatan, pekerja di sub sektor perkhidmatan makanan dan minuman yang kehilangan pekerjaan merangkumi 35.4 peratus diikuti sub sektor pengangkutan dan penyimpanan dengan 18.7 peratus," katanya.

Beliau berkata, hasil kaji selidik itu juga mendapati dari segi simpanan kewangan, lebih daripada dua per tiga atau 71.4 peratus responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi bagi tempoh kurang daripada satu bulan.

"Hanya 6.2 peratus responden menyatakan kurang terkesan berbanding 52.6 peratus responden yang menyatakan sangat terkesan dari segi kewangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tempoh bekerja turut mempengaruhi simpanan kewangan di mana sebanyak 69.7 peratus yang telah bekerja dalam tempoh kurang daripada satu tahun menyatakan simpanan kewangannya bertahan kurang daripada satu bulan.

Manakala sebanyak 11.4 peratus yang bekerja 21 hingga 30 tahun dan 11.7 peratus yang bekerja lebih daripada 30 tahun mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga empat bulan, katanya.

Katanya, majoriti responden menyatakan tidak bersedia sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan kecuali pekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC).

Beliau berkata, dapatan daripada kaji selidik itu diharap dapat membantu kerajaan dan penduduk Malaysia dalam menangani kesan Covid-19 terhadap ekonomi dan pekerjaan.

Mohd Uzir berkata, analisis yang dikongsikan ini adalah berdasarkan kepada responden yang menyertai kaji selidik khas ini dan tidak mewakili pandangan seluruh rakyat Malaysia.

“Ia harus ditafsir secara berhati-hati bagi menilai kesan Covid-19 di Malaysia dan ia bukan statistik rasmi," katanya.

Namun katanya, ia boleh digunakan untuk menyokong dalam memberi gambaran tentang situasi semasa.

“Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dijangka dapat membantu golongan yang terjejas ini sekali gus memacu ekonomi dan menjana pendapatan boleh guna rakyat serta dapat meningkatkan penggunaan domestik,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!