Lima dikompaun RM1,000 di Pulau Pinang

Sahabudin (kanan) diberi penjelasan mengenai sistem jual beli di Kompleks Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga tadi.
Sahabudin (kanan) diberi penjelasan mengenai sistem jual beli di Kompleks Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga tadi.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seramai lima individu dikompaun RM1,000 sejak semalam kerana didapati tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, kesemua mereka merupakan kumpulan pertama di negeri ini dikenakan tindakan tersebut.

Menurutnya, kelima-lima individu itu merupakan sebahagian daripada 19 orang yang ditahan di beberapa daerah semalam.

"Memandangkan tidak ada siasatan lanjut dijalankan ke atas mereka yang melanggar PKP, maka kita telah mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap mereka.

"Sementara itu, bagi 14 lagi yang ditahan, mereka ini ada keperluan untuk disiasat lebih lanjut kerana melibatkan elemen jenayah selain melanggar PKP.

"Sekiranya selepas siasatan lanjut dibuat dan didapati kes tersebut kukuh, kita akan mendakwa mereka di mahkamah," katanya kepada media tadi.

Terdahulu, kompaun sebanyak RM1,000 akan mula dikenakan terhadap individu yang melanggar PKP bermula semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pesalah PKP diberi masa dua minggu untuk menjelaskan kompaun berkenaan dan sekiranya gagal, mereka akan dihadapkan ke mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sahabudin yang turut membuat pemantauan di Kompleks Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di sini tadi berkata, semua pihak termasuk nelayan mematuhi penjarakkan sosial ketika menjual hasil laut di situ.

"Walaupun cara penjualan mereka berubah, namun pendapatan mereka tidak terjejas malah meningkat 70 peratus.

"Ini kerana, ramai peraih luar yang datang ke sini selepas mendapat tahu hanya peraih sahaja yang dibenarkan membeli hasil laut di sini. Untuk tempoh PKP ini, pembeli tidak dibenarkan membeli, namun selepas semuanya berakhir, sistem pembelian lama boleh digunakan kembali," katanya.

Sahabudin berkata, sehingga kini peratusan pematuhan PKP di Pulau Pinang menunjukkan 98 peratus dengan 587 ditahan kerana melanggar PKP.

"Pada awal pelaksanaan PKP, 50 peratus kenderaan di jalan raya tidak mematuhi PKP dan mereka diminta membuat pusingan U. Mereka ini ada yang tidak ada alasan kukuh, kebenaran dan sebagainya.

"Bagaimanapun, selepas tiga minggu, jumlah kenderaan di atas jalan raya dilihat menurun. Hanya mereka yang dibenarkan sahaja berada di jalan raya ini menunjukkan prestasi yang baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!