Kedah perkenal zakat fitrah baharu, RM5

Dari kiri Zakaria, Fadzil dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Faisal Mustaffa menunjukkan kadar fitrah di Kedah bagi tahun 2020.
Dari kiri Zakaria, Fadzil dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Faisal Mustaffa menunjukkan kadar fitrah di Kedah bagi tahun 2020.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengenakan empat kadar fitrah di negeri ini bagi tahun 2020 selepas mengambil kira situasi pandemik koronavirus (Covid- 19) yang sedang melanda negara pada masa ini.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata, kadar terbaru yang dikenakan adalah RM5 iaitu bagi beras super tempatan (10-15 peratus hancur) manakala kadar lama RM7 (beras super spesial tempatan, 5 peratus hancur), RM14 (beras super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi) dan RM21 (beras basmathi, beras jepun, beras merah) dikekalkan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kutipan dan Agihan LZNK berkata, kadar baharu berjumlah RM5 bertujuan memberikan ruang kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk menunaikan kewajipan zakat fittrah.

"Bagi kadar RM7, RM14 dan RM21 adalah digalakkan kepada semua umat Islam untuk menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari.

"Namun sekiranya kita makan beras tempatan dengan kadar hancur lima peratus (RM7) dan mampu bayar lebih pada kadar RM14 atau RM21 maka adalah digalakkan bayar fitrah pada kadar yang lebih baik. Agama menggalakkan umatnya membuat perkara lebih baik," katanya ketika sidang akhbar di Menara Zakat Kedah di sini hari ini.

Tambah Fadzil, bagi mereka yang terkesan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, agama memberi kelonggaran kepada golongan tersebut.

"Contohnya, seorang ketua keluarga yang mempunyai tanggungan anak yang ramai seperti lima orang dan tidak mampu untuk membayar zakat fitrah dan ketika itu hanya ada RM15 sahaja, maka mereka diwajibkan membayar untuk tiga orang sahaja iaitu suami, isteri dan seorang anak.

"Lagi dua orang anak dia akan terlepas dari kewajipan sebab kemampuan dia setakat itu saja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, LZNK menyediakan beberapa platform atas talian seperti laman sesawang Jom Zakat Kedah, laman sesawang Asnaf Care dan Aplikasi Zakat On Touch (ZOT).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman berkata, sebanyak 3,008 amil di seluruh negeri Kedah akan melaksanakan tugas kutipan zakat fitrah di kaunter yang akan ditetapkan.

Menurutnya, pihaknya menasihati umat Islam di negeri ini untuk melaksanakan kewajipan itu pada minggu-minggu awal bulan Ramadan dan bukannya pada saat-saat akhir yang boleh mendatangkan kesulitan kepada banyak pihak.

"Kami sasar kutipan zakat fitrah pada tahun ini adalah sebanyak RM10 juta seperti tahun lepas tetapi mungkin ada ada sedikit penurunan disebabkan oleh masalah Covid-19 sekarang dan memberikan ruang kepada orang kurang berkemampuan bayar zakat fitrah pada kadar RM5," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!