UMNO mahu kerajaan beri tumpuan golongan bekerja sendiri

Shahril Sufian
Shahril Sufian
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO mahu kerajaan memberikan tumpuan dan keutamaan kepada golongan bekerja sendiri yang terjejas ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan berkata, golongan yang berada dalam keadaan sengsara pada ketika ini ialah dalam kalangan B40, bekerja gaji harian, penjaja kecil dan pekerja sambilan.

"Kerajaan perlu menyesuaikan tindakan berasaskan data. Maka segala inisiatif perlu bersasar kepada golongan yang memerlukan lebih daripada yang lain.

"Adakalanya ia mungkin tidak popular berbanding pendekatan 'pukul rata', tapi hakikatnya inilah pendekatan yang adil," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dapatan kajian Jabatan Perangkaan mendapati 71.4 peratus rakyat yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi kurang daripada satu bulan.

Kajian itu dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan secara dalam talian pada 18 hingga 31 Mac lalu dan ia mengandungi 21 soalan meliputi modul umum, modul pekerjaan dan modul perbelanjaan.

Seramai 168,182 responden meliputi seluruh Malaysia mengikuti kajian tersebut dan kakitangan awam dikecualikan daripada analisis.

Dalam pada itu, sebanyak 46.6 peratus daripada 168,182 responden yang menyertai kajian itu mengakui telah hilang pekerjaan kesan daripada wabak tersebut.

Artikel Berkaitan:

Shahril Sufian ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, dapatan statistik itu amat mengejutkan dan merisaukan.

"Statistik ini amat mengejutkan. Mungkin ada yang akan pertikai kesahihan data kerana ini adalah pungutan suara atau kajian, tetapi andai kata angka sebenar menghampiri 40 peratus pun, ia sudah cukup merisaukan.

"Bayangkan berapa ramai isi rumah yang terkesan jika hampir separuh dari kelompok yang sekitar 25 peratus tenaga buruh Malaysia, tiada pendapatan?

"Kedudukan mereka yang bekerja dalam sektor swasta juga tidak jauh lebih selesa. Lebih 20 peratus sama ada sudah hilang kerja, diminta cuti tanpa gaji, atau separuh gaji.

"Sekali lagi, bandingkan dengan data golongan yang bekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat antarabangsa hanya 0.4 peratus yang setakat ini hilang kerja. Yang cuti tanpa gaji setakat ini masih rendah, hanya 1 hingga 2 dua peratus," katanya.

Sehubungan itu, Shahril Sufian berkata, kerajaan mempunyai masa untuk mengkaji setiap data dan merangka langkah seterusnya jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilanjutkan.

"Kerajaan sudah ada data menggambarkan golongan mana yang mesti diberi perhatian segera. Kerajaan sudah mula ada data, sektor mana yang perlu perhatian lebih jika ekonomi kekal suram selepas PKP," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!