Lelaki maki, tampar polis direman
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, tempoh reman ke atas lelaki berusia 55 tahun dari Jalan Hang Jebat itu bermula hari ini.
"Siasatan lanjut terhadap lelaki itu dilakukan berhubung dakwaan mencederakan seorang anggota polis semasa bertugas ketika sekatan jalan raya," katanya.
Dalam kejadian lebih kurang jam 1.30 petang itu, seorang anggota polis trafik menyediakan satu lorong kecemasan untuk dilalui sebuah ambulans yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya bagaimanapun, kemudian sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu seorang lelaki telah menggunakan laluan kecemasan tersebut menyebabkan dia ditahan oleh anggota polis.
Difahamkan anggota tersebut dipercayai meminta pemandu itu memandu kembali ke laluan utama Lebuh AMJ, bagaimanapun suspek telah menghamburkan kata-kata kesat terhadap pengadu (anggota polis) kerana tidak berpuas hati dengan arahan tersebut.
Anggota polis tersebut difahamkan memanggil seorang rakan setugasnya untuk membantu menguruskan lelaki itu yang kemudian menampar muka kiri anggota tersebut hingga mengalami kecederaan dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!