PDRM umum pertukaran 49 pegawai kanan berkuat kuasa 18 Mei
KUALA LUMPUR - Timbalan Pengarah (Integriti), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid antara 49 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa 18 Mei depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Allaudeen bakal memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard), JIPS Bukit Aman.
Pertukaran lain melibatkan Penolong Pengarah E7, Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Zainal Rahmat yang dilantik menjadi Ketua Penolong Pengarah E6, Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Penolong Pengarah E8, Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Normah Ishak pula bakal memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah E8 cawangan itu dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Selain itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff dilantik sebagai Ketua Perhubungan Antarabangsa Urus Setia KPN (Pentadbiran) Bukit Aman dan jawatannya itu akan diganti oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
Pertukaran lain turut menyaksikan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
Asmawati berkata, jawatan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan akan diisi oleh Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern dengan memangku pangkat Superintendan.
Ketua Penolong Pengarah (Kepolisian Am) Bahagian Kewangan/Kepolisian Am, Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Superintendan Mohd Fadzil Ali bakal memegang jawatan Ketua Polis Daerah Putrajaya dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
Pertukaran lain turut melibatkan Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Deputi Superintendan Maslan Udin yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Jelebu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!