'Syukur...saya dah sembuh jangkitan Covid-19'

Ishak disahkan sembuh dan dibenarkan pulang petang semalam.
Ishak disahkan sembuh dan dibenarkan pulang petang semalam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Penghulu Mukim Sungai Panjang, Ishak Sulaiman melahirkan rasa syukur kerana dia yang sebelum ini positif koronavirus (Covid-19) telah sembuh dan dibenarkan pulang dari hospital, petang semalam.

Ishak berkata, beliau bersyukur kerana disahkan bebas daripada wabak itu dan ketika ini cuma menjalani kuarantin di rumahnya selama 14 hari sehingga 23 April ini.

"Saya amat gembira selepas disahkan pulih daripada jangkitan ini. Terubat kerinduan kepada keluarga kerana saya dapat berjumpa dengan mereka hari ini (semalam)," katanya kepada Sinar Harian.

Betapa lelaki itu teruja dengan nikmat kesembuhan itu apatah lagi dia kini dapat bertemu dengan keluarganya setelah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sejak 31 Mac lalu.

Ishak berkata, selepas disahkan positif Covid-19, dia menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, kemudian dipindahkan ke Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM) setelah keadaannya stabil.

"Saya akui ketika mula dapat tahu positif Covid-19 dan ditempatkan bersama mereka yang positif membuatkan diri saya sedikit lemah, namun atas sokongan serta doa keluarga dan rakan-rakan memberi kekuatan kepada saya mengharungi dugaan ini," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun terdapat hikmah di sebalik ujian yang terpaksa dihadapinya termasuk melihat sendiri keadaan pesakit yang positif melawan pandemik itu.

"Saya sendiri mengucapkan setinggi terima kasih kepada kakitangan hospital kerana memberi layanan yang baik dan melayani keperluan kami sepanjang menjalani rawatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengalaman dilaluinya itu membuktikan hospital di negara ini mampu memberikan perkhidmatan berkualiti dan bertaraf tinggi.

"Ramai di antara kita hanya melihat jumlah kematian setiap hari, tetapi tidak menyedari jumlah pesakit yang pulih sebenarnya bertambah setiap hari atas kesungguhan petugas kesihatan yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.

Tambahnya, dia bersyukur apabila mengetahui dua ahli keluarganya bebas daripada jangkitan itu selepas menjalani ujian Covid-19.

"Selebihnya masih menunggu keputusan dan saya sentiasa berdoa mereka dijauhkan daripada wabak merbahaya ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!