Belia perlu meniaga, jangan harap makan gaji sahaja

Belia perlu meniaga, jangan harap makan gaji sahaja

Farique Azwan
Farique Azwan
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan muda perlu buka mata agar tidak terus bergantung kepada pendapatan yang diperoleh daripada makan gaji semata-mata.

Pengerusi Pemuda Dewan Perdagangan Asean, Farique Azwan berkata, sebagai warganegara Malaysia terutamanya kaum Bumiputera, seharusnya menggunakan kesempatan yang diberi kerajaan untuk menceburi bidang perniagaan.

Katanya, keadaan ini sedikit sebanyak dapat membantu memajukan ekonomi diri, keluarga dan masyarakat.

Menurutnya, kerajaan bermatlamat menjadikan bidang perniagaan ini terutamanya sektor industri kecil dan sederhana (IKS) sebagai penyumbang utama peluang pekerjaan baru dan membantu perkembangan ekonomi negara pada abad ke-21.

“Makan gaji hanya memberi pendapatan bulanan kepada seseorang individu itu sahaja, perkara sebaliknya apabila berkecimpung dalam bidang perniagaan ianya turut membantu individu lain dalam mencari peluang pekerjaan.

“Keadaan ini sekaligus membuka peluang untuk orang lain memperoleh pendapatan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Pemuda Dewan Perdagangan Asean berpendapat, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengubah perspektif anak muda dengan memberi pendedahan awal kepada pelajar bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah.

Menyedari kepentingan pendidikan perniagaan Farique berkata, kerjasama KPM dan Kementerian Pembangunan Usahawan perlu dilaksanakan supaya dapat mempromosikan kerjaya dalam bidang perniagaan agar pelajar tidak terkeliru ketika memilih aliran yang sesuai untuk mereka selepas Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Artikel Berkaitan:

Pada peringkat ini juga katanya, pihak sekolah perlu mengenalpasti pelajar yang berpotensi untuk diserapkan ke kelas perdagangan semasa ke Tingkatan 4 dan 5.

“Namun begitu, stigma negatif masyarakat khususnya ibu bapa terhadap aliran sastera yang meliputi subjek perdagangan sering kali berlaku. Sehinggakan aliran ini menjadi ‘kelas kedua’ selepas aliran sains di kebanyakan sekolah.

“Malahan ada segelintir masyarakat berpendapat mengatakan pelajar yang mengambil subjek perdagangan ini terdiri daripada pelajar yang tiada masa hadapan kerana tidak terpilih untuk memasuki aliran sains,” katanya.

Oleh itu beliau berkata, tindakan holistik perlu dilakukan KPM dalam memastikan mata pelajaran ini menjadi pilihan pelajar untuk dijadikan bidang utama mereka.

Katanya, keadaan ini perlu kerana selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) para pelajar berpeluang untuk terus memilih kursus perniagaan di institut pengajian tinggi sekaligus memberi kesedaran kepada mereka bahawa bidang perniagaan yang bakal diceburi akan memberi peluang cerah untuk meraih pendapatan yang lebih meluas.

Namun begitu beliau berkata, sekiranya golongan muda terus bersikap yang mereka berada di zon selesa, ianya adalah satu pemikiran cetek apabila warga asing terus memonopoli beberapa sektor utama seperti pembinaan, pertanian dan perkilangan di negara ini.

“Ramai yang mengatakan bahawa Melayu adalah kaum yang tidak bijak mencari peluang malah mengaitkan beberapa industri di negara ini telah dikuasai oleh warga asing ada benarnya.

“Oleh itu, pada tahun baharu 2019 ini diharapkan rakyat Malaysia perlu aktif mencari peluang yang ada khususnya dalam bidang perniagaan untuk memastikan kemajuan diri serta keluarga,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!