Pemandu mabuk langgar kereta polis di SJR

Kereta warga emas terbabit remuk selepas melanggar belakang kereta dipandu anggota polis.
Kereta warga emas terbabit remuk selepas melanggar belakang kereta dipandu anggota polis.
A
A
A
PETALING JAYA - Tindakan seorang lelaki warga emas yang memandu secara melulu sewaktu tiba di sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 berhampiran Plaza Tol PJS 2 mengundang padah, apabila dia merempuh sebuah kereta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di hadapannya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faizal berkata, kejadian sekitar jam 9.30 malam itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada warga emas dan anggota polis terbabit.

"Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit positif alkohol melebihi had yang dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 45 (A) (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu serta merbahaya.

"Warga emas berkenaan turut dikompaun RM1,000 berikutan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pegawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam perkembangan sama, Nik Ezanee berkata, seramai 17 individu lain turut ditahan menerusi sekatan jalan raya Op Covid-19 itu dalam tempoh 24 jam.

Tambah beliau, pihaknya memberi amaran kepada orang ramai supaya dapat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

"Kegagalan mematuhi arahan ini membolehkan mereka ditahan dan didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!