Pasukan perubatan China dijangka tiba dua minggu lagi
PUTRAJAYA - Pasukan perubatan China akan tiba di negara ini bagi berkongsi pengalaman memerangi pandemik koronavirus (Covid-19) dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pasukan itu dijangka tiba dalam masa dua minggu lagi.
"Mereka hanya berkongsi pengalaman bagi membantu menambah baik perkhidmatan," katanya.
Menurutnya, KKM mengambil peluang tersebut untuk bekerjasama dengan China dalam bidang penyelidikan.
"Kita alu- alukan kedatangan mereka dan KKM juga boleh mempelajari sesetengah inisiatif yang dilakukan China.
"Seperti kita tahu, China berupaya membina sebuah hospital baharu dalam masa 10 hari, malah Malaysia juga dapat menyediakan hospital sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19 dalam masa tiga hari," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.
Pada 28 Mac lalu, Duta China ke Malaysia, Bai Tian menyatakan kesediaannya untuk menghantar pakar perubatan ke negara ini dalam usaha membanteras penularan Covid-19.
Pada perkembangan sama, beliau berkata, KKM telah menerima kit ujian pantas yang canggih daripada Korea Selatan.
"Kita akan membuat ujian pengesanan dalam masa terdekat bagi melihat keberkesanan dan ketepatannya.
"Kita tidak mahu ulangi kesilapan Sepanyol dan United Kingdom yang tidak menunjukkan ketepatan sebenar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!