80 penduduk terjejas terima sumbangan Pemuda UMNO Titiwangsa
SHAH ALAM - Seramai 80 penduduk di sekitar Parlimen Titiwanga yang terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima bantuan hasil inisiatif Pemuda UMNO kawasan itu.
Ketuanya, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, penganjuran program yang memasuki siri keempat itu menggunakan konsep pandu lalu, penerima hanya perlu menunggu di dalam kenderaan sewaktu mengambil sumbangan tersebut.
Beliau berkata, sehingga kini, sekitar 450 orang telah menerima bantuan sumbangan berkenaan yang berupa wang tunai dan barangan keperluan asas.
"Program ini adalah inisiatif Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa memandangkan ramai penduduk yang terjejas sejak pelaksanaan PKP ini.
"Jadi, diharap sumbangan ini dapat membantu meringankan bebanan mereka," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Dalam pada itu, Nazir berkata, pihaknya juga bercadang untuk meneruskan program berkenaan selepas ini susulan pengumuman kerajaan bagi melanjutkan pelaksanaan PKP.
Tambah beliau, buat masa ini, Pemuda UMNO Titiwangsa juga sedang berusaha mendapatkan sumbangan dana bagi menyalurkan bantuan bersempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
"Kita akan cuba laksanakan program tanpa melibatkan perjumpaan sebagai usaha bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!