PKP: KPDNHEP Selangor terima 867 aduan
SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negera dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerima 867 aduan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga semalam.
Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, daripada jumlah aduan itu, 406 aduan atau 46.83 peratus adalah berkaitan harga barang dan selebihnya membabitkan aduan seperti kehabisan stok barangan seperti roti serta bawang.
Menurutnya, pihaknya mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga dalam tempoh PKP ini.
"Jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.
"KPDNHEP akan memantau perkara tersebut setiap hari dan sepanjang PKP ini seramai 105 anggota pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga (PPH) akan membuat pemantauan serta pemeriksaan di premis-premis di seluruh negeri Selangor," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Selain itu, tambah Muhamad Zikril, bekalan makanan dan barangan keperluan harian di kebanyakan pasar raya di sekitar negeri Selangor berada dalam keadaan stabil.
Katanya, pengguna juga dilihat tidak lagi membuat sebarang pembelian panik berikutan bekalan keperluan masih banyak dipasarkan oleh peniaga dan pengusaha pasar raya.
"Kebanyakan pasar raya juga begitu komited bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan mencukupi untuk pengguna," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!