Bank Dunia unjur Covid-19 beri impak besar ke atas KDNK Malaysia
KUALA LUMPUR - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan menguncup di antara -0.1 peratus dengan -4.6 peratus tahun ini berikutan kesan buruk yang ditimbulkan wabak Covid-19, menurut Bank Dunia.
Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia dalam Kewangan, Daya Saing dan Inovasi Amalan Global, Smita Kuriakose berkata, kesan terhadap ekonomi Malaysia itu dijangka besar berdasarkan kesan negatif Covid-19 ke atas pelaburan langsung asing (FDI), komoditi dan pelancongan selain kejutan domestik susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Malaysia merupakan antara ekonomi yang amat berkaitan dengan rantaian bekalan global.
Beliau berkata, secara global, perdagangan telah merosot sama dengan fasa paling teruk krisis kewangan global 2008/2009.
Sejak wabak Covid-19 bermula dan hingga 23 Mac, berlakunya aliran keluar terbesar dari pasaran pesat membangun dengan rekod pada AS$83 bilion, manakala FDI global diunjurkan susut sebanyak 30 hingga 40 peratus tahun ini.
Dalam pada itu, 75 juta pekerjaan berdepan risiko yang berlaku dalam sektor perjalanan dan pelancongan dengan dua pertiga daripadanya adalah di Asia.
“Kita perlu mengakui fakta bahawa pemulihan tidak akan sama di seluruh sektor dan juga negara,” katanya semasa seminar menerusi web anjuran badan pemikir tidak bermotifkan keuntungan, Research For Social Advancement (REFSA) yang mengupas tajuk Flattening the Recession Curve: Saving SMEs and Preserving Jobs (Perataan Lengkung Kemelesetan: Menyelamatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Mengekalkan Pekerjaan).
Beliau berkata, inisiatif yang mencukupi perlu dilaksanakan untuk membantu PKS dalam keadaan berlakunya gangguan rantaian penawaran dan permintaan.
Smita berkata, PKS tempatan khususnya masih lagi ketinggalan dalam penggunaan platform digital dan ini perlu ditangani.
Walaupun kerajaan menunjukkan komitmennya dengan pantas dan menyediakan sejumlah sumber yang besar sebagai tindak balas terhadap kesan wabak itu, pemulihan pula dijangka mengambil masa bertahun-tahun.
Minggu lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan unjuran KDNK Malaysia bagi 2020 dianggarkan di antara -2 peratus hingga 0.5 peratus, berbanding pertumbuhan pada 4.3 peratus tahun lepas.
“Sebaik sahaja keyakinan rakyat pulih, aktiviti ekonomi akan meningkat semula dan anda akan mendapati permintaan akan melonjak yang akan mendorong kepada pemulihan,” kata Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Yunus.
BNM juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi domestik meningkat semula sebelum akhir tahun ini dan seterusnya pada 2021 apabila risiko daripada pandemik itu reda, sejajar dengan unjuran pemulihan dalam ekonomi global.
Pada 2019, KDNK Malaysia berkembang pada 4.3 peratus. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!