Cabaran mengurus manusia
ADA pernyataan yang menyebut: “Dunia ini tidak adil kerana diuruskan oleh manusia.” Sepintas lalu, ada benarnya pernyataan tersebut. Namun, jika kita memikirkan dengan lebih jauh lagi, adakah sejauh ini transformasi dunia yang berlaku berdiri atas ketidakadilan?
Hakikatnya, sifat adil itu adalah sangat relatif antara manusia, bangsa dan negara. Apa yang jelas, neraca keadilan itu adalah berbeza antara satu sama lain. Ini bermakna, untuk mengurus neraca keadilan bagi setiap orang adalah amat berbeza, apatah lagi terdapat perbezaan cara hidup dan corak pemikiran. Pun begitu, untuk kelangsungan hidup di dunia ini kita perlu menguruskan sumber yang paling berharga iaitu rakyatnya.
Sebetulnya, bukan mudah untuk menguruskan manusia. Berkaitan hal ini, ALLAH telah berfirman: “Dan demi sesungguhnya, kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara dalam al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu sejenis makhluk yang banyak kali bantahannya.” (Surah al-Kahfi, 18:54).
Ini bermakna kita perlukan pemimpin yang begitu kuat untuk menguruskan manusia yang pelbagai kerenah itu. Pemimpin yang kuat haruslah ada pada semua peringkat sama ada di peringkat negara, organisasi, keluarga dan memimpin diri sendiri. Menurut Confucius, ahli falsafah China: “Jika kita hendak bangunkan negara, binalah rakyatnya; jika hendak bangunkan rakyat, binalah keluarganya dan jika hendak bangunkan keluarga maka binalah diri sendiri.”
Pada peringkat negara, kita perlukan pemimpin yang menghargai rakyatnya. Segala denyut nadi rakyat haruslah dapat dirasai dengan lebih dekat. Ingatlah, setiap kerajaan yang dibina adalah berteraskan kepada falsafah demokrasi iaitu, ‘kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat’. Oleh itu, neraca keadilan berdasarkan prinsip memberi hak kepada mereka yang berhak amatlah wajar dipatuhi.
Sehingga kini, pihak kerajaan telah berjaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik. Pun begitu, cabaran untuk membina semula negara selepas wabak Covid-19 amat menuntut pihak kerajaan perlu berhati-hati mengurus neraca keadilan. Apa yang jelas, impak selepas itu amatlah besar berbanding semasa kemelesetan ekonomi dunia kerana semua sektor di dunia terjejas teruk akibat wabak itu.
Bagi peringkat organisasi pula, pemimpin yang berjiwa kental, tenang, jujur dan bersifat terbuka amatlah diperlukan. Bukan mudah untuk menguruskan sesebuah organisasi yang terjejas teruk dengan wabak itu. Kerjasama rapat antara pekerja dan majikan amatlah dituntut supaya konsep ‘menang-menang’ dapat dicapai bersama.
Apa yang jelas, untuk setahun dua ini, keselesaan seperti mana dahulu, mungkin masih belum boleh dicapai. Namun, jika kita semua berdiri atas prinsip saling menghormati dan memerlukan antara satu sama lain, organisasi berkenaan boleh bangkit semula dan berkemungkinan membuat pencapaian yang lebih baik daripada sebelum ini.
Di peringkat keluarga, tidak kira mereka ialah suami, isteri, bapa dan ibu tunggal perlu menjadi pemimpin yang baik untuk keluarga. Ahli keluarga perlu dididik untuk berhemah berbelanja. Masa untuk bermewah-mewah kena tinggalkan dahulu. Bagi ahli keluarga yang berada, budaya memberi infaq dan wakaf perlu digiatkan kerana itulah cara terbaik untuk membantu mereka yang memerlukan selain daripada peroleh keberkatan daripada ALLAH. Ahli keluarga perlu diperkukuhkan dengan nilai-nilai yang baik serta pergiatkan amal yang soleh. Inilah masanya untuk mempraktikkan ‘Rumahku, Syurgaku’.
Bagi diri sendiri pula, kita harus menguruskan pemikiran dan emosi kita supaya lebih tenang dan stabil. Carilah ketenangan dengan mendekatkan diri kepada pencipta-Nya. Berusahalah untuk membantu orang lain seramai mungkin dan belajarlah untuk tidak pentingkan pada diri sendiri. Perbanyakkanlah muhasabah diri dan bertaubat dengan kesalahan kita selama ini.
Jangan putus berdoa kepada ALLAH agar wabak Covid-19 dihapuskan secepat mungkin. Merayulah pada ALLAH bahawa kita amat merindui rumah-Nya. Sebetulnya, kita rindukan sembahyang Jumaat serta solat berjemaah terutamanya sewaktu solat subuh. Sudah lama tidak dapat merasai hening pagi dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.
* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!