Cara Sweden lebih baik?

A
A
A

SAYA terbaca satu artikel yang ditulis oleh seorang bijak pandai juga. Katanya dalam tajuk artikel itu, untuk menangani wabak Covid-19, model Sweden yang paling baik. Tetapi yang menarik lagi ialah Sweden katanya, tidak melakukan perintah berkurung dalam menangani wabak pandemik itu.

“Menarik juga”, terdetik di hati saya. Maka saya terus menelusuri artikel tersebut untuk mengetahui juga apa yang dibuat oleh Sweden sehingga menjadi paling baik dalam menangani permasalahan Covid-19.

Ada enam soalan juga yang dilontarkan dalam artikel tersebut. Cuma saya pun tidak tahu siapa yang hendak menjawabnya. Soalan-soalannya bukan main susah juga hendak dijawab.

Cuma satu soalan yang menarik perhatian saya ialah soalan pertama: “Adakah jelas dengan melakukan perintah berkurung akan memperlahankan jangkitan?” Soalan itu agak susah hendak menjawabnya kerana ia juga bergantung kepada kepatuhan arahan berkurung itu sendiri.

Yang jelas ia mungkin perbandingan yang boleh kita pelajari jika bertujuan untuk membandingkan pendekatan kita dan Sweden yang menurut penulis bijak pandai itu akan melonjakkan ekonomi Sweden.

Seterusnya untuk mengetahui strategi yang diguna pakai oleh Sweden maka saya melayari pula laman sesawang dalam mencari maklumat yang tepat dan mana tahu jika Sweden berjaya, mungkin Malaysia pun boleh mengikutinya.

Laman sesawang pertama yang saya lawati ialah sebuah laman yang diktiraf oleh WHO dalam memberitahu statistik terkini berkenaan Covid-19. Maka saya terus memilih negara Sweden untuk mengetahui akan keberkesanannya.

Setakat artikel ini ditulis, statistik memaparkan, kes yang positif adalah 9,141, sembuh 205 dan kematian ialah seramai 793 orang. Dan antara strategi yang dikatakan menarik, Sweden tidak melakukan pengurungan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Hmm...sekadar melihat sepintas lalu, tidak ada bezanya juga dengan apa yang diamalkan negara lain. Malah ada juga yang mengkritik Sweden kerana tidak melakukan apa yang sepatutnya seperti negara lain.

Menteri luar Sweden, Anne Linde pernah menyanggah dakwaan Donald Trump yang menuduh Sweden tidak melakukan apa-apa. Bahkan kata Anne: “Mana ada. Kami melakukan sama apa yang negara lain lakukan. Cuma kami lakukan dengan cara tersendiri. Masih ada larangan melawat rumah orang-orang tua dan berkumpul melebihi 50 orang. Cuma kami lebih harapkan rakyat sendiri bertanggungjawab.”Selain itu juga Sweden juga dikritik oleh rakyat jelatanya sendiri. Mereka menyalahkan kerajaan dan berpendapat cara Sweden yang berlainan itu akan lebih memudaratkan.

Efektif

Kita boleh lihat juga pada statistik yang memberi maksud, cara yang sempurna dalam menangani wabak itu hanyalah dengan vaksin sahaja, Tetapi untuk mengekang, saya rasakan cara pengurungan adalah paling efektif dengan syarat rakyat sendiri memainkan peranan mematuhi arahan.

Oleh itu untuk soalan pertama yang ditanya oleh penulis bijak pandai itu, jawapannya boleh sahaja memperlahankan jangkitan Covid-19. Ini pun hanya berdasarkan beberapa bacaan ringkas sahaja.

Kita boleh sahaja melihat dan mengambil contoh untuk pembelajaran daripada negara lain. Mana yang berkesan kita boleh adaptasikan sahaja untuk negara kita. Paling penting ialah keberhasilan daripada strategi itu.

Untuk mengatakan model Sweden paling baik, elok juga kita dengar sendiri apa yang dikatakan oleh beberapa orang bijak pandai Sweden terutama pakar kesihatannya sendiri.

Kata mereka, Sweden seolah-olah lebih mengutamakan kesihatan ekonomi daripada kesihatan rakyat jelata.

Selain itu Profesor Fredrik Elgh, seorang profesor di Umea University memberitahu: “Saya lebih memilih Stockholm dikurung. Kita merupakan satu-satunya negara dalam dunia yang tidak berusaha sepenuhnya dalam menyekat jangkitan. Ini sangat serius.”

Memang benar keseimbangan paling utama. Namun, tiada yang sempurna, tiada menang-menang. Hanya yang ada pengorbanan. Soalannya pengorbanan yang mana kita pilih?

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!