Rakyat perlu berkorban putuskan rantaian Covid-19
SHAH ALAM – Rakyat perlu melakukan pengorbanan jika mahu rantaian wabak koronavirus (Covid-19) dapat diputuskan dengan cepat.
Pendakwah yang juga Ahli Dewan Negara, Asmak Husin berkata, umat Islam terutamanya perlu melakukan pengorbanan berdasarkan perancangan yang rapi supaya dapat menikmati kemanisan ibadat berpuasa dalam erti sebenarnya.
Menurutnya, jika sebelum ini setiap kali tiba Ramadan perkara pertama yang difikirkan adalah berkunjung ke bazar Ramadan, tetapi pada tahun ini perkara itu tidak akan berlaku.
“Tapi saya tengok untuk Ramadan kali ini berlaku sedikit perbezaan menyebabkan masyarakat Islam di negara ini perlu merancang dengan teliti tentang bagaimanakah Ramadan yang mereka mahu.
“Aktiviti ke bazar Ramadan sudah tidak ada lagi, tarawih berjemaah perlu dilakukan dengan keluarga di rumah demi mengamalkan penjarakan sosial untuk memutuskan Covid-19,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau menyarankan kepada umat Islam supaya mengulang kaji kembali mengenai hukum hakam dan kaedah untuk menikmati Ramadan dengan sempurna.
“Mungkin buat sementara waktu kita tidak boleh lagi beraya seperti tahun-tahun lepas dengan balik kampung dan sebagainya. Kena bersabarlah sedikit demi untuk bantu negara kembali pulih seperti biasa.
“Orang Islam juga perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti yang Nabi Muhammad SAW sarankan. Mula belajar buat makanan sendiri dan bercucuk tanam memandangkan di masa akan datang kita memerlukan penggunaan duit yang banyak untuk perkara yang lebih bermanfaat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!