Terserah FAM jika mahu batal Liga-M: AFC
KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) tidak menghalang sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu membatalkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).
Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, keputusan membatalkan liga tertakluk kepada badan induk bola sepak di negara masing-masing.
“Di Asia sendiri sudah ada beberapa liga dibatalkan, antaranya Liga Macau dan Liga Sri Lanka. Keputusan membatalkan liga tertakluk kepada peraturan liga di negara masing-masing.
“AFC tidak akan dan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang sama ada liga mahu dibatalkan atau disambung semula kerana ia keputusan domestik atau dalaman,” katanya kepada Sinar Harian.
Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu susulan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.
Ketidaktentuan ancaman pandemik itu akan pulih menyebabkan timbul desakan beberapa pihak supaya Liga-M dibatalkan dan dimulakan semula tahun depan.
Bagaimanapun, Windsor turut menasihatkan setiap negara yang mahu membatalkan liga supaya mengkaji keperluan tersebut dan dalam masa sama melihat kepada beberapa aspek terutamanya dari sudut penajaan.
“Pelbagai perkara perlu diambil kira sebelum membatalkan liga. Paling penting adalah dari segi pendapatan menerusi hak penyiaran dan penajaan yang telah diberikan.
“Penaja ini beri penajaan untuk setiap perlawanan yang berlangsung dan jika batal liga, maknannya badan induk bola sepak negara itu perlu bayar balik semua perbelanjaan tersebut. Jika penaja dapat beri kelonggaran, maka mungkin tiada masalah untuk dibatalkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan AFC akan merangka mekanisme baharu saingan di pentas Asia musim depan ekoran penularan wabak Covid-19.
“Nak cari siapa (pasukan) main di peringkat Asia, AFC akan longgarkan syarat sebab situasi ini (Covid-19) luar biasa dan perlu ada mekanisme untuk tentukan siapa yang wakil,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!