Kerajaan perlu tetapkan SOP lebih ketat

Perkhidmatan gunting rambut antara sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi secara berperingkat semasa tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020. Gambar kecil: Azhar
Perkhidmatan gunting rambut antara sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi secara berperingkat semasa tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020. Gambar kecil: Azhar
A
A
A

KOTA BHARU - Kebenaran beberapa sektor tambahan dapat beroperasi semula secara berperingkat semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah satu pengumuman yang sedikit sebanyak melegakan ekonomi rakyat.

Bagaimanapun, Pengerusi Parlimen Belia Kelantan (Revolusi Pertiwi), Azhar Kamaruzaman berkata, kerajaan perlu mengumumkan dengan segera garis panduan pelaksanaannya terutama melibatkan perniagaan gunting rambut.

“Perkhidmatan yang dituntut dan tular dalam kalangan warga maya seperti gunting dan dobi ini meskipun diakui remeh tetapi ia adalah keperluan untuk aspek penampilan dan kebersihan. Terima kasih kerana kerajaan memahaminya.

“Namun begitu, saya begitu gusar dengan pelaksanaannya kerana umum mengetahui, etika dan disiplin rakyat kita masih tidak memuaskan.

“Bayangkan ketika kerajaan umumkan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional pun, mereka sesak di bank tanpa ikut penjarakan sosial. Sangat merisaukan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, kerajaan bukan sahaja perlu menyatakan garis masa kebenaran beroperasi tetapi kuota tertentu wajar ditetapkan supaya ia tidak menjadi salah satu penyebab kepada kegagalan negara mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Hemat saya, pembukaan sektor baharu fasa seterusnya wajar dikaji semula dengan melihat keberkesanan fasa terkini. Jika rakyat masih gagal mengikuti arahan, lebih baik kerajaan tarik balik kelonggaran dan tidak buka sektor baharu. Tindakan tegas wajar dilakukan demi putuskan rangkaian wabak Covid-19 ini.

“Sejujurnya, senarai pembukaan semula sektor ini sudah cukup memadai bagi keperluan kepada rakyat. Kita tidak mahu mengambil risiko yang lebih tinggi, bimbang yang dikejar tidak dapat, dikendong pula keciciran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan semalam membenarkan beberapa sektor tambahan antaranya industri automotif, projek pembinaan serta perkhidmatan terpilih untuk beroperasi secara berperingkat semasa PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: Perkhidmatan gunting rambut asas antara dibenar operasi semasa PKP

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, jemaah menteri telah mengambil keputusan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

Industri lain yang turut dibenarkan beroperasi ialah mesin dan peralatan, industri aeroangkasa dan perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang terhad kepada guaman, minyak dan gas serta aktiviti berkaitan Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!