JohorCareer bantu belia cari kerja
JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengambil maklum hasil kajian Khazanah Research Institute tentang wujudnya ketidakpadanan antara proses mencari kerja oleh belia.
Selain itu, kajian bertarikh 12 Disember itu juga turut menyatakan kaedah pengambilan oleh majikan yang memberi kesan buruk kepada kelangsungan pasaran tenaga pekerja.
Bagaimanapun, Tunku Ismail memaklumkan kepada belia-belia di Johor bahawa mereka mempunyai pilihan untuk memasuki pasaran kerja melalui portal khas JohorCareer yang menyenaraikan peluang-peluang pekerjaan di negeri ini.
"Saya percaya jika portal ini digunakan sebaiknya oleh majikan dan belia, masalah ketidakpadanan ini akan dapat dikurangkan," katanya seperti dipetik dari laman Facebook Rasminya HRH Crown Prince of Johor di sini hari ini.
Tunku Ismail turut mencadangkan agar kerajaan negeri dapat memperkasakan portal itu supaya menjadi lebih mesra pengguna dan menggalakkan semua majikan di Johor untuk mendaftar dan mengiklankan peluang pekerjaan yang wujud dalam organisasi masing-masing.
"Selain itu, bahagian pekerjaan tidak tetap atau 'freelance work’ ataupun 'short-term' juga wajar dipertimbangkan bagi membantu belia Johor yang terlibat dalam aktiviti 'gig economy'," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!