Tarik balik PKP 'terlalu awal', bawa padah: WHO

Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
A
A
A

GENEVA - Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Jumaat memberi amaran, menarik balik kawalan pergerakan 'terlalu awal' boleh mencetuskan penularan semula koronavirus (Covid-19) yang jauh lebih buruk, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata, ada beberapa negara sudah merancang untuk menarik balik arahan duduk di rumah.

"Langkah itu boleh menimbulkan keadaan lebih berbahaya jika tidak dikendalikan dengan cara yang betul," katanya.

WHO kini sedang bekerjasama dengan negara terjejas Covid-19 berhubung strategi bagaimana untuk melonggarkan kawalan pergerakan secara berperingkat dan selamat.

Beberapa negara Eropah antaranya sudah mempertimbangkan untuk melonggarkan arahan itu berikutan jumlah jangkitan Covid-19 menunjukkan trend penurunan.

Antaranya, Austria dan Switzerland masing-masing bercadang melonggarkan sekatan bermula pertengahan dan hujung April.

Ketua WHO itu menegaskan, sebarang keputusan untuk menarik balik kawalan pergerakan seharusnya dengan syarat penularan sudah dapat dikawal; perkhidmatan perubatan dan kesihatan awal yang secukupnya; risiko penularan di kemudahan khas seperti lokasi penjagaan jangka panjang diminimumkan; langkah pencegahan diambil di tempat kerja, sekolah dan tempat tumpuan orang ramai; risiko kes import dapat dikawal; dan komuniti sudah sedar dan faham mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan penjarakan sosial dalam tempoh peralihan ini.

Di seluruh dunia, hampir 1.5 juta kes positif Covid-19 dilaporkan kepada WHO dengan lebih 92,000 kematian. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!