[LAPORAN KHAS] Lorong TAR sunyi sepi
JIKA dulu Jalan dan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) menjadi tumpuan warga Lembah Klang untuk membeli juadah berbuka puasa dan barangan keperluan hari raya, namun tahun ini lokasi tersebut dijangka lengang dan sunyi.
Selepas perpindahan bazar Ramadan dari Jalan TAR ke Jalan Raja di Dataran Merdeka tahun lalu, Lorong TAR masih meriah pada hari Sabtu dengan peniaga dan penjaja pasar malam yang beroperasi hingga larut malam.
Bagaimanapun, dengan pengumuman Kementerian Wilayah Persekutuan membatalkan bazar-bazar Ramadan di ibu negara, apatah lagi dua flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India hanya beberapa meter dari Lorong TAR, syurga beli-belah itu bakal sepi.
Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (PPPLTAR), Azkhalim Suradi berkata, bisnes peniaga dan penjaja lumpuh sama sekali ketika ini dan dijangka berlarutan sehingga Ramadan.
Menurut Azkhalim, seramai 430 ahli persatuan PPPLTAR hilang punca rezeki berikutan 550 lot tapak milik pelesen tidak dapat beroperasi pada setiap Sabtu dari jam 3 petang hingga 10 malam.
“Kebanyakan yang bertapak di lokasi itu sejak lebih 20 tahun lalu adalah peniaga dan penjaja sepenuh masa.
“Walaupun ada yang berniaga di lokasi lain, namun pasar malam di Lorong TAR adalah lokasi paling laris,” kata Azkhalim ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.
Katanya, para peniaga pasar malam Lorong TAR pada setiap Sabtu mendapat untung bersih sekitar RM300 untuk satu lot dan kebanyakan peniaga makanan mempunyai dua atau tiga lot.
“Sekiranya lot peniaga terletak di kawasan tengah, untung bersih boleh mencecah RM800.
“Pada bulan Ramadan pula, pasar malam Lorong TAR pada hari Sabtu dibuka seawal jam 9 pagi dan berterusan sehingga 2 pagi. Sambutan pengunjung amat menggalakkan dan peniaga boleh mendapat untung sekitar RM3,000 ke RM8,000 sebulan,” katanya sambil memaklumkan sebahagian besar peniaga pasar malam tahun lalu akan membuka gerai di bazar Jalan Raja.
Jelasnya, ketika pasar malam biasa, kira-kira 40 peratus peniaga menjual pakaian sementara selebihnya menjual makanan dan sebagainya. Namun apabila tiba bulan Ramadan, hampir 80 peratus peniaga pasar malam Lorong TAR berniaga pakaian.
Melihatkan situasi semasa dan kedegilan sesetengah pihak yang enggan mematuhi PKP, Azkhalim menzahirkan kebimbangan PKP akan berlanjutan hingga Hari Raya Aidilfitri.
“Peniaga tidak harus berdiam diri sebaliknya perlu memikirkan cara lain bagi menjana pendapatan antaranya dengan menjual barangan dalam talian,” kata Azkhalim yang turut memiliki guest house, perniagaan gerai makanan dan baju batik di Petaling Street.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!