Tong ikan pun kena kebas!
KUALA SELANGOR - Seorang peniaga ikan dan sayur mengalami kerugian apabila empat tong ikan yang diletakkan berhampiran Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching dilarikan, awal pagi kelmarin.
Mohd Zulkifli Zainal, 35, berkata, kejadian jam 1 pagi itu disedari seorang peniaga kedai makan berhampiran dewan yang menghubunginya memaklumkan tentang kejadian berkenaan.
Menurutnya, sejurus tiba di lokasi kejadian dia terkejut apabila mendapati empat tong ikan yang setiap satu bersaiz 40 liter ditinggalkan dalam keadaan berkunci dilesapkan pihak tidak bertanggungjawab.
"Mungkin disebabkan keadaan sunyi di kawasan ini disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi peluang pihak tidak bertanggungjawab melakukan kegiatan mencuri," katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Zulkifli berkata, tong ikan yang setiap satu bernilai RM120 itu sebelum ini digunakan ketika dia berniaga di pasar pagi di hadapan dewan pada setiap hari kecuali Isnin.
Bagaimanapun, katanya, operasi perniagaannya itu dihentikan sementara berikutan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu.
"Sebelum ini tiada pula kes kecurian berlaku di sini apatah lagi saya sudah berniaga di hadapan dewan itu sejak 10 tahun lalu.
"Kehilangan tong ikan ini mengakibatkan saya mengalami kerugian kira-kira RM520," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!