Perlu ada SOP sebelum benarkan tukang gunting buka premis

MURUGIAH
MURUGIAH
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menetapkan prosedur operasi standard (SOP) atau peraturan khas kepada tukang gunting atau pendandan rambut sebelum membenarkan mereka membuka premis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah berkata, SOP itu amat penting bagi meredakan kegusaran yang timbul di kalangan ramai pihak terhadap kebimbangan penyebaran jangkitan koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, tukang gunting atau pendandan rambut disarankan memakai topeng muka semasa mengunting rambut pelanggan.

Katanya, amat sesuai juga jika pemakaian pendandan rambut menepati ciri pemakaian seperti kakitangan hospital yang merawat pesakit Covid-19.

"Mereka juga disaran supaya mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum dan selepas proses mengunting rambut.

"Ia bagi memastikan kebersihan masih dikekalkan walaupun penjarakkan sosial satu meter berkurangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, semua peralatan seperti gunting, sikat serta lain-lain juga perlu dicuci menggunakan bahan kimia yang sesuai untuk membunuh kuman.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan membenarkan beberapa sektor tambahan antaranya industri automotif, projek pembinaan serta perkhidmatan terpilih untuk beroperasi secara berperingkat semasa PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, perkhidmatan perubatan tradisional yang berdaftar, perkhidmatan kedai perkakasan, kedai barangan elektrik dan elektronik, kedai cermin mata, perkhidmatan gunting rambut asas dan perkhidmatan dobi 'full service' juga dibenarkan beroperasi.

Murugiah berkata, beliau yakin dengan cara itu, keselamatan pelanggan dan pendandan rambut lebih terjamin.

"Moga kita menang memerangi Covid-19 dan rantaian virus ini dapat ditamatkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!