KKM siasat tular pelindung kepala daripada plastik sampah
BAGAN SERAI - Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyiasat gambar tular didakwa seorang kakitangan sebuah klinik kesihatan di Perak memakai pelindung kepala yang diperbuat daripada plastik sampah.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan telah membuat semakan di beberapa klinik namun belum menerima sebarang jawapan.
Menurutnya, perkara itu akan disiasat secara menyeluruh kerana tindakan menggunakan plastik sampah sebagai pelindung kepala merendahkan taraf kerajaan dan kementerian.
"Ini kerana untuk membuat pelindung kepala kita ada material khas dan bukannya daripada plastik sampah. Kita akan cari siapa yang buat termasuk yang tularkan gambar-gambar itu," katanya kepada pemberita selepas gimik penyerahan 10 kotak makanan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Pejabat Penghulu Alor Pongsu di sini hari ini.
Selain itu, Dr Noor Azmi berkata, dakwaan kononnya negara juga kekurangan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) adalah tidak benar.
"Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah maklumkan kerajaan sudah membuat tempahan yang banyak dari luar negara dan dijangka sampai dalam masa terdekat ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!