Setiap nyawa bernilai: PM
PUTRAJAYA - "Setiap nyawa adalah berharga," kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khas beliau semalam meruntun hati seluruh rakyat Malaysia.
Menurutnya, dalam mendepani usaha memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19), kehilangan satu nyawa kerana virus itu adalah satu kehilangan besar buat negara.
"Baik bayi, orang muda, orang dewasa atau warga emas, semuanya bernilai," katanya.
Kenyataan Perdana Menteri itu turut mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat dan rata-ratanya turut mengucapkan terima kasih kerana menjadi pemimpin yang prihatin akan rakyat.
Public Health Malaysia menerusi kiriman Facebooknya berkata, riak wajah Perdana Menteri agak letih ketika menyampaikan perutusan, namun masih tersenyum dan berjenaka untuk menggembirakan hati rakyat.
“Pengarah KKM pula tanpa jemu dan bosan menjawab setiap pertanyaan wartawan setiap kali sesi sidang media walaupun sering kali jawapannya disalah erti dan dimanipulasi media tidak bertanggungjawab,” tulisnya.
Kiriman itu dibanjiri oleh ucapan terima kasih netizen kepada Perdana Menteri kerana mengambil berat akan perihal rakyatnya.
“Abah (menjadi) Perdana Menteri di waktu yang tepat,” kata pengguna Facebook bernama Izleen Rahim.
“Terima kasih PM, terima kasih DG,” komen pula pengguna Facebook bernama Tigris Liyana.
Kiriman tersebut mendapat 18,000 tanda suka dan 2,700 perkongsian semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!