TM berjaya pulihkan kabel dasar laut rosak lebih awal
KUALA LUMPUR - Telekom Malaysia Berhad (TM) berjaya memulihkan kapasiti antarabangsa yang terjejas akibat kerosakan kabel dasar laut Rangkaian Kabel Asia Pasifik 2 (APCN2) lebih awal berbanding sasaran iaitu pada 20 April ini.
TM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa syarikat itu juga berjaya mengalih dan mengoptimumkan sepenuhnya trafik melalui laluan sambungan antarabangsa alternatif.
"Penyelarasan rangkaian masih diteruskan dan kami akan terus memantau prestasi rangkaian bersama rakan konsortium di negara lain.
"Kami ingin menyatakan sekali lagi bahawa impak kepada pelanggan adalah minimum berikutan langkah proaktif mengalihkan trafik ke laluan alternatif dan langkah-langkah lain yang diambil serta kerja-kerja baik pulih oleh rakan konsortium sedang dilakukan," menurut kenyataan itu.
Menurut TM, sambungan data ke lokasi dan pelayan yang dihoskan di Hong Kong dan Amerika Syarikat telah dioptimumkan sepenuhnya untuk dinikmati pelanggan.
"Kami ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan dan mengucapkan terima kasih kepada semua kerana bersabar sepanjang tempoh (gangguan) tersebut.
"Kami akan terus memantau perkembangan situasi terkini dan menyesuaikan perkhidmatan kami bagi membantu para pelanggan," katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pengguna Internet di negara ini berdepan gangguan minimum susulan kerosakan kabel dasar laut APCN2.
Kabel dasar laut APCN2 itu, yang menghubungkan Malaysia ke Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat merupakan antara 14 sistem kabel dasar laut yang disertai TM di seluruh dunia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!