PKP: Pelajar IPT wajar dihantar pulang

Bantuan Khidmat Belia Siswa Covid-19 oleh GPMS Perak dihantar ke PUO untuk diberikan kepada pelajar yang masih berada di kampus.
Bantuan Khidmat Belia Siswa Covid-19 oleh GPMS Perak dihantar ke PUO untuk diberikan kepada pelajar yang masih berada di kampus.
A
A
A

IPOH - Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang masih terkandas di kampus wajar dibenarkan pulang susulan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April depan.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak, Muhammad Asree Abdul Aziz berkata, perkara itu perlu dibuat bagi mengelak keadaan yang tidak terurus dan luar jangka termasuk meresahkan ahli keluarga.

Menurutnya, GPMS Perak menyarankan kerajaan supaya mencari mekanisme yang menyeluruh dan efisien dalam memastikan mahasiswa pulang ke pangkuan keluarga bagi memelihara kebajikan mereka secara berterusan.

"Kami mencadangkan beberapa mekanisme dalam memastikan pelajar dihantar pulang tanpa berlaku penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) dan antara cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam proses menghantar pulang pelajar yang terkandas di IPT adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak berkuasa.

"Hanya pelajar yang benar-benar sihat diberikan kebenaran untuk pulang dan pelajar yang sudah pulang pula perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, dalam memastikan kelancaran dan mengelak berlaku kesesakan jalan raya, pelajar dicadangkan dihantar pulang menggunakan bas IPT masing-masing secara berperingkat.

Katanya, semua agensi yang terlibat di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh digerakkan untuk menghantar pulang pelajar dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak begitu juga sebaliknya.

Muhammad Asree berkata, pelajar yang memiliki kenderaan sendiri dibenarkan pulang bersama surat kebenaran dari pihak berkuasa atau IPT dengan syarat satu kenderaan satu orang sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Penyediaan pasukan kesihatan di setiap check point turun dan naik kenderaan pengangkut bagi memastikan kawalan serta pemeriksaan kesihatan pada tahap terbaik.

"Proses menghantar pulang pelajar ini perlu dibuat mengikut zon IPT dan hari bergilir bagi mengelak kesesakan pada satu-satu masa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Asree menjelaskan pihaknya turut mengambil inisiatif sebelum ini sepanjang tempoh PKP dengan menjalankan misi Bantuan Khidmat Belia Siswa Covid-19.

Beliau berkata, bantuan yang diberikan berupa pemberian makanan dan keperluan asas tersebut telah melalui dua peringkat membabitkan lebih 3,000 pelajar di sembilan IPT di Perak.

Katanya, bagi fasa pertama, seramai 1,276 mahasiswa daripada 7 IPT iaitu Politeknik Ungku Omar (PUO), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah, Universiti Kuala Lumpur Kampus MIMET (UNIKL MIMET), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Kolej Komuniti Teluk Intan.

Manakala bagi fasa kedua misi bantuan ini jelasnya telah dimanfaatkan oleh 2,136 mahasiswa daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang telah dijalankan pada 1 April lalu.

"Pengagihan bantuan ini dijalankan oleh sukarelawan GPMS Perak yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Negeri dan cawangan GPMS yang berdekatan dengan IPT yang terlibat seperti GPMS Cawangan Ipoh, GPMS Cawangan Tambun, GPMS Cawangan Tapah, GPMS Cawangan Bagan Datuk, GPMS Cawangan Sitiawan, GPMS Cawangan Kampar, GPMS Cawangan Slim River dan GPMS Cawangan Teluk Intan.

"Sepanjang misi bantuan ini dijalankan, GPMS Perak telah mendapat kebenaran dan kerjasama yang begitu baik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah dan Majlis Keselamatan Negeri Perak dengan mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Muhammad Asree berkata, melalui bantuan tersebut mahasiswa yang masih berada di kampus kediaman masing-masing dapat dibantu dari segi kebajikan mereka.

TAMAT

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!