Kenal pasti kaedah bawa pulang pelajar IPT

Suraya
Suraya
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan perlu mengenal pasti kaedah sewajarnya sebelum membuat keputusan membenarkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) pulang ke kampung halaman masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April depan.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah tentu akan membuat perancangan dan pelaksanaan teliti serta mengutamakan keselamatan semua pihak sebelum membuat keputusan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang berkata, penuntut IPT juga diyakini sudah bijak dan matang untuk mematuhi apa jua kaedah yang akan diperkenalkan nanti dalam menempuh suasana sukar ini.

"Kita memahami perasaan dan cabaran yang perlu dihadapi setiap pelajar IPT itu, yang mana mereka sebelum ini mematuhi arahan PKP dengan tinggal di kediaman masing-masing sama ada di rumah sewa dan kolej-kolej kediaman.

"Pada masa sama, sudah tentunya mereka risau akan keluarga mereka di kampung halaman masing-masing, manakala ibu bapa pula bimbangkan anak mereka yang terpaksa bersendirian dalam tempoh PKP ini," katanya.

Suraya berkata, beliau percaya segala keputusan diambil kerajaan dan KPT dalam menghadapi situasi ini akan memberi kebaikan untuk semua pihak.

"Susulan itu, semua pihak diseru untuk kekal bertenang, tidak bersikap mementingkan diri dan terus mematuhi saranan terbaik daripada kerajaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut melahirkan penghargaan atas pengorbanan mereka selama ini bersama-sama rakyat Malaysia yang lain dalam mematuhi peraturan dan langkah keselamatan dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh PKP yang akan berakhir 14 April dilanjutkan selama dua minggu lagi demi memberi ruang kepada petugas kesihatan untuk memerangi sepenuhnya penularan koronavirus (Covid-19).

Susulan lanjutan itu, beberapa pihak khususnya ibu bapa menyuarakan harapan supaya pelajar IPT terkandas di institusi masing-masing dibantu untuk dibawa pulang ke pangkuan keluarga mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!