Rakyat Malaysia dedah keadaan sebenar Sepanyol

Foto daripada Noor Azlin Razali menunjukkan situasi di Madrid selepas lockdown.
Foto daripada Noor Azlin Razali menunjukkan situasi di Madrid selepas lockdown.
A
A
A

MADRID - Seorang rakyat Malaysia yang berada jauh di perantauan dan sedang menjalani perintah berkurung di Madrid, Sepanyol ketika ini merayu rakyat Malaysia tidak mengambil ringan soal penularan koronavirus (Covid-19) dengan mengikut arahan pihak berkuasa.

Semalam, menerusi perkongsian Facebook Noor Azlin Razali, dia yang menetap di tengah kota Madrid, Sepanyol menceritakan situasi lockdown di negara tersebut mengubah segalanya sehingga kota tersebut tidak ubah seperti bandar hantu selepas perintah berkurung dilaksanakan.

“Semua yang ada di Malaysia masih belum terlambat seperti di sini, Sepanyol. Jadi tolonglah duduk di rumah dan jangan degil,” tambahnya.

Katanya lagi, meskipun sudah sebulan lebih negara tersebut melaksanakan perintah lockdown dan tiada seorang pun berlegar-legar di jalan raya, namun bilangan kes semakin meningkat.

“Dengan angka kematian melebihi 15,000 saya boleh katakan Sepanyol dalam darurat,” katanya.

Jelasnya, peningkatan kes tersebut disebabkan penularan virus dalam kalangan ahli keluarga masing-masing yang telah dijangkiti lebih awal dan mengambil ringan tentang kesihatan mereka dan menganggap ia hanyalah selesema biasa sepanjang musim sejuk.

“Kini virus di sini sudah tidak terkawal, kematian demi kematian (berlaku). Sudah macam perang,” luahnya.

Dia juga pasrah untuk tidak pulang ke Malaysia kerana tidak mahu meletakkan keluarganya dan negara Malaysia dalam bahaya kerana berada di negara yang berisiko tinggi, selain berpesan supaya semua pihak sentiasa bersyukur dan tidak mengambil ringan sesuatu perkara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!