Insentif RM500 kepada peniaga bazar Ramadan konsep baru
KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan menawarkan insentif RM500 kepada peniaga yang berdaftar di bawah tiga konsep baharu bazar Ramadan tahun ini.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kementerian memperkenalkan konsep pandu lalu, bungkus dan ambil dan e-panggilan bagi menggantikan bazar Ramadan yang dibatalkan bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, insentif RM500 yang diberikan itu bagi menggalakkan penyertaan dan peniaga boleh menggunakannya sebagai sebahagian fi bagi perkhidmatan e-panggilan.
"Ada yang beri maklum balas belum jelas dengan kaedah baharu ini kerana sebelum ini menjalankan perniagaan seperti biasa.
"Justeru, saya akan minta wakil penganjur memberikan penerangan. Setiap kawasan akan ada sekretariat yang akan bantu lancarkan proses ini," katanya semasa Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.
Katanya, satu taklimat akan diadakan esok melibatkan wakil 66 penganjur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertujuan melancarkan pelaksanaan konsep baharu itu,
"Satu jawatankuasa terdiri pegawai DBKL dan penganjur akan dibentuk. Konsepnya nampak mudah, namun dari segi pelaksanaannya banyak perkara yang perlu dilakukan.
"Isu teknikal termasuk senarai lokasi (tapak pengambilan makanan) dengan jumlah peniaga perlu diselesaikan Isnin ini untuk membolehkan proses perkhidmatan e-panggilan diteruskan," katanya.
Annuar berkata, beliau menyasarkan pendaftaran peniaga dapat dilakukan dalam tempoh empat hari bermula Selasa sehingga Jumaat ini.
"Syarikat e-panggilan perlukan masa seminggu untuk persediaan aplikasi yang perlu diselesaikan sebelum 1 Ramadan.
"Saya jangkakan esok isu lokasi dapat diselesaikan dan pada Isnin senarai lokasi dan jumlah peserta dapat dimuktamadkan," katanya.
Katanya, beliau menyasarkan 1,200 penguatkuasa akan digerakkan bagi membuat pemantauan.
"Kita jangka perlu letakkan anggota penyelia tapak yang kita anggarkan 1,200 penguat kuasa untuk pastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan pematuhan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Konsepnya nampak macam mudah, tapi banyak prosesnya, namun apa yang penting kita berusaha bagi setiap perkara. Harap inilah semangat yang ada buat warga Wilayah Persekutuan sentiasa positif dan produktif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!