Insurans hayat, takaful keluarga terima 19,000 pertanyaan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) mencatatkan lebih 19,000 pertanyaan awam mengenai penangguhan bayaran premium/caruman selama tiga bulan yang diumumkan sebagai sebahagian inisiatif bantuan untuk menangani impak pandemik koronavirus (Covid-19).

Kedua-dua persatuan itu, menerusi kenyataan bersama hari ini berkata, 14 syarikat insurans hayat dan 11 pengendali takaful keluarga di seluruh negara menerima pertanyaan itu menerusi pusat panggilan, e-mel, portal pelanggan dan platform media sosial masing-masing.

Presiden LIAM, Loh Guat Lan berkata, daripada jumlah pertanyaan itu, lebih 13,000 permohonan penangguhan premium telah diterima dengan kira-kira 3,900 diluluskan.

Menurut LIAM dan MTA, mengikut langkah bantuan bagi pemegang polisi/sijil yang terjejas dari segi kewangan ekoran wabak COVID-19 termasuk yang tidak dapat memperoleh pendapatan, mereka mempunyai tempoh tangguh selama tiga bulan (atau 90 hari) bagi premium/caruman yang perlu dibayar.

“Dalam tempoh ini, syarikat insurans hayat dan takaful keluarga akan terus menyediakan perlindungan insurans dan takaful kepada pemegang polisi/pemegang sijil yang terjejas.

“Pilihan untuk menangguhkan pembayaran premium/caruman insurans/takaful boleh diperolehi mulai 1 April hingga 31 Disember 2020. Semua premium/caruman yang perlu dibayar pada 18 Mac hingga 31 Disember 2020 akan layak bagi pilihan penangguhan bayaran premium/caruman ini,” menurut LIAM dan MTA.

Mereka menasihatkan semua pemegang polisi/sijil supaya menghubungi syarikat insurans atau pengendali takaful mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif pelepasan yang ditawarkan kepada mereka semasa krisis kesihatan ini.

Pengerusi MTA, Muhammad Fikri Mohamad Rawi berkata, pemegang polisi/sijil dinasihatkan mendapatkan penjelasan daripada syarikat insurans dan pengendali takaful masing-masing mengenai kelayakan polisi atau sijil mereka bagi pilihan penangguhan ini jika dijangkiti wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Mereka perlu menyediakan dokumen sokongan seperti surat doktor yang mengesahkan jangkitan Covid-19 (jika pemegang polisi dijangkiti), surat pengurangan gaji/pemberhentian kerja/penutupan perniagaan daripada majikan atau dokumen lain yang berkaitan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!