Pengusaha bimbang wujud 'kluster gunting rambut'
ALOR SETAR - Keputusan kerajaan membenarkan perkhidmatan kedai gunting beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengundang pelbagai pandangan daripada pengusahanya sendiri.
Seorang pengusaha kedai gunting rambut di Stadium Darul Aman, Noor Afiq Syahmi Ahmad Nawawi, 30, berkata, dia mengambil pendekatan untuk tidak beroperasi sehingga PKP tamat dan akan kembali meneruskan perniagaan selepas keadaan benar-benar selamat daripada Covid-19.
Menurutnya, ini kerana dibimbangi akan wujudnya 'kluster gunting rambut' sekiranya ada pelanggan yang dijangkiti Covid-19 dan aspek keselamatan tidak diterapkan.
"Tempoh 20 minit hingga 45 minit diperuntukkan bagi seorang pelanggan semasa gunting rambut mereka. Bagaimana saya boleh pastikan keadaan selamat dan sudah tentu ia amat sukar untuk dilakukan.
"Saya difahamkan ada pembawa Covid-19 ini tidak menunjukkan sebarang gejala walaupun kita menyediakan pengesan suhu badan selain mengamalkan langkah pencegahan yang tinggi," katanya kepada Sinar Harian.
Noor Afiq Syahmi berkata, dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM4,000 sebulan selepas kedainya tidak beroperasi sejak 18 Mac lalu.
"Saya menampung pendapatan yang hilang itu dengan menjual makanan dan menghantar kepada pelanggan secara penghantaran," katanya.
Bagaimanapun bagi seorang lagi pengusaha kedai gunting rambut di Jalan Tun Abdul Razak, dekat sini, Mohd Fauzan Mohd Ali,36 berkata, dia menyambut baik peluang diberikan kerajaan itu.
Menurutnya, dia akan mengamalkan langkah berhati-hati sebagaimana telah ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.
Katanya, hanya seorang pelanggan dihadkan dalam tempoh satu jam di kedainya selain tidak membenarkan pelanggan lain berkumpul di situ.
"Hanya pelanggan yang telah membuat temu janji dibenarkan masuk ke dalam kedai untuk mengunting rambut," katanya.
Hari ini media melaporkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneliti semua pandangan dan kebimbangan khalayak berhubung kebenaran kedai gunting beroperasi dalam tempoh PKP.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, MITI akan meneliti perkara tersebut sebelum sebarang keputusan diputuskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!