Terkejut nasi dihidang dalam perut ayam

Azman (kanan) ketika bersama rakan satu usrah di Universiti Baghdad.
Azman (kanan) ketika bersama rakan satu usrah di Universiti Baghdad.
A
A
A

CELOTEHNYA yang bersahaja adalah antara sebab Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim sangat dikenali dalam kalangan rakyat Terengganu khususnya di kawasan Jabi.

Kadangkala berbual dengannya membuatkan kita tidak kering gusi kerana ada saja jenaka diselitkan tetapi penuh pengajaran untuk direnungkan.

Mungkin tidak ramai yang tahu, di sebalik penampilan ceria itu, Azman menyimpan kisah pahit manis yang tidak mungkin pudar daripada ingatannya terutama ketika beliau menyambung pengajian di kota Baghdad, Iraq sekitar tahun 1993 hingga 1999.

Kesemua kenangan itu turut dikongsi melalui karyanya, Travelog di Lembah Sungai Dajlah dan Furat.

Mengimbau kenangan tersebut, Azman berkata, dia hanya mampu menyewa rumah flat tanpa bilik disebabkan kekangan kewangan ketika menjejakkan kaki di bumi bersejarah itu.

“Saya hanya mampu menyewa rumah flat tanpa bilik yang terletak di kawasan Pasar Adhamiya, di tengah kota Baghdad. Ia kawasan penempatan rakyat berpendapatan rendah namun masih berpegang tinggi dengan nilai agama.

“Saya masih ingat seorang Abu Hallaq (gelaran untuk tukang gunting rambut) bernama Ra’ad yang kemudian menjadi sahabat baik saya dan seorang pemilik kedai membaiki radio dan televisyen bernama Abu Samir.

“Begitu juga seorang pemilik kedai cetak bernama Adnan yang selalu saya singgah dalam perjalanan balik daripada menghadiri kuliah. Abu Hallaq selalu marah jika dalam perjalanan pulang ke rumah dari kuliah, saya tak singgah di kedainya terlebih dahulu,” ceritanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Abu Hallaq sering berpesan, walaupun saya tidak mahu gunting rambut, dia hanya ingin bertanya khabar.

“Kadang-kadang bila lama saya tak menjenguk, Abu Hallaq akan datang mengetuk pintu rumah sambil ‘marah-marah’ tetapi membawa sedulang makanan yang dikirimkan ibunya untuk saya.

“Sebab itu saya selalu terfikir, penjajah boleh menakluk, membunuh, merampas, memonopoli hasil bumi serta pelbagai lagi tindakan zalim dan jahat tetapi belum tentu mereka mampu menakluki iman, akidah serta mengubah hati budi masyarakat di situ,” katanya merujuk kepada sekatan kewangan dan perdagangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap Iraq ketika itu.

Azman berkata, selain Abu Hallaq, pemilik kedai percetakan bernama Ad

nan yang membuka perniagaan berhampiran lokasi pengajiannya di Saddam Medical City adalah antara sahabat Iraq yang sentiasa dalam ingatannya.

Upah

“Berbekalkan sebuah komputer bersama sebuah pencetak, dia mencari rezeki mengambil upah menaip tesis atau apa sahaja yang diminta oleh pelanggan.

“Penggunaan komputer di Iraq ketika itu amat terhad. Saya sendiri hanya memiliki sebuah komputer dengan processor XT sahaja. Processor Pentium ketika itu sudah dikira begitu mahal,” katanya.

Azman berkata, disebabkan penguasaan bahasa Inggeris Adnan agak lemah, dia akan merujuk kepada saya ketika saya singgah di kedainya.

“Apa-apa yang sedang ditaipnya akan ditunjukkan kepada saya untuk membantu membetulkan sekiranya terdapat kesalahan ejaan.

“Selepas itu, kami akan sama-sama ke restoran, makan ‘timman wa marak’ (nasi dengan kuah sahaja). Minumnya air sejuk kosong. Lauk ayam atau kambing bukan boleh selalu dinikmati oleh perantau seperti saya. Bajetnya cuma untuk keperluan pengajian. Saya masih mampu melangkah hanya berbekalkan nasi dan kuah serta sedikit khubuz (roti arab),” katanya.

Azman (kanan) bersama rakan dari Iraq ketika menaiki pengangkutan yang digelar coaster untuk menghadiri kuliah di Baghdad.
Azman (kanan) bersama rakan dari Iraq ketika menaiki pengangkutan yang digelar coaster untuk menghadiri kuliah di Baghdad.

Menurut Azman, kebiasaannya apabila beliau ke kedai atau ke pasar untuk membeli barangan keperluan, beliau akan bertanyakan nama barangan yang dijual mengikut bahasa tempatan.

“Misalnya, di sana kalau kita mencari beras dengan nama ‘ar ruzz’ mengikut istilah standard, jawabnya kempunanlah kita nak makan nasi sebab orang Iraq memanggilnya ‘timman’.

“Pernah pada awal tiba di sana, saya yang kelaparan berpusing-pusing mencari restoran yang menjual nasi dengan mengintai perkataan ‘ar ruzz’ yang ditulis pada senarai menu yang terpampang pada cermin restoran. Akhirnya hampa dan tidak ketemuan. Rupa-rupanya nasi bagi orang Iraq dipanggil ‘timman’ bukannya ‘ar ruzz’! Apatah lagi nasi itu memang tidak kelihatan kerana ia diletakkan dalam perut ayam yang dipanggang. Belah ayam baru keluar nasi,” katanya.

Tambahnya, pergaulan mesra dengan masyarakat di Iraq menjadikan beliau mampu menguasai bahasa Arab dalam dialek Iraq dengan begitu cepat.

Dalam pada itu, Azman turut berkongsi perasaan yang dilalui selama enam tahun di negara yang pernah dilanda sekatan ekonomi oleh kuasa besar dunia ketika itu.

“Apa saja yang boleh disekat maka telah disekat oleh Amerika Syarikat kecuali air dan udara. Perdagangan, eksport minyak, lapangan terbang tutup, pelabuhan tutup, makanan, keperluan asas, kenderaan, ubat-ubatan, teknologi, buku-buku ilmiah dan apa saja yang boleh disekat.

“Terlalu panjang hingga boleh menitiskan air mata jika saya bercerita mengenai kedukaan dan penderitaan yang terpaksa dilalui,” katanya yang pernah bertugas sebagai doktor pergigian di hospital-hospital sekitar Terengganu.

Justeru, katanya, apa yang dialami rakyat di negara itu (Iraq) suatu ketika dahulu begitu perit berbanding ujian yang dialami rakyat Malaysia yang kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak Covid-19.

Dr Azman meluangkan masa bertemu masyarakat di kawasan Jabi, Terengganu.
Dr Azman meluangkan masa bertemu masyarakat di kawasan Jabi, Terengganu.

Profil

DR AZMAN IBRAHIM

Jawatan: Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu

Politik: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi

Umur: 46 tahun

Pendidikan: Sarjana Muda Pergigian, Universiti Baghdad, Iraq

Isteri: Nik Yushanida Nik Yusof

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!