Al-Quran suntik kekuatan spiritual, emosi depani Covid-19
SHAH ALAM - Sumbangan wakaf al-Quran melalui Program Wakaf Quran Mu'jam menyuntik kekuatan spiritual dan emosi kepada para petugas barisan hadapan dan pesakit untuk terus mendepani tekanan akibat pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini.
Kakitangan dan pesakit dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Institut Kanser Negara (IKN) turut memanfaatkan sepenuhnya sumbangan wakaf al-Quran masing-masing berjumlah 160 naskhah untuk pengisian kerohanian serta rawatan penyembuhan emosi.
Ketua Unit Hal Ehwal Islam IKN, Madya Madon berkata, pihaknya memuji usaha agihan al-Quran wakaf digerakkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dari Kumpulan Karangkraf yang ternyata memberi kekuatan dalaman kepada petugas IKN dan pesakit.
Menurutnya, sejumlah 160 naskhah al-Quran diterima IKN ditempatkan di 28 surau dan bilik solat serta troli ibadah di wad-wad bagi kegunaan pesakit dan kakitangan.
"IKN menzahirkan ucapan terima kasih kepada para penyumbang wakaf al-Quran melalui WUIF kerana sumbangan itu ternyata memberi impak positif menaikkan semangat kakitangan dan pelanggan di sini.
"Usaha agihan sumbangan al-Quran dilakukan orang ramai ini perlu dipuji kerana proses pemulihan dan pengurusan individu dalam menghadapi penyakit harus mengambil kira aspek spiritual dan emosi," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam HTAR Klang, Harun Abdul Halim berkata, sebanyak 160 naskhah al-Quran wakaf yang diterima hospital itu diedar kepada 54 jabatan untuk kegunaan kakitangan dan ke 33 wad untuk kegunaan pesakit.
Bertepatan konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI), beliau menegaskan, setiap wad ada kit ibadah dan wakaf al-Quran diletakkan di situ.
"HMI juga ada menganjurkan Pertandingan Sudut HMI dan jabatan, unit, wad yang telah wujudkan Sudut HMI, al-Quran wakaf akan diletakkan juga di Sudut HMI@Quran Time Corner untuk kegunaan bersama.
"Program QuranHour turut diadakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara siaran langsung melalui Facebook rasmi FB HTAR dengan 20 orang terpilih sahaja mengikutinya di Auditorium Permata HTAR dengan mengambil kira aspek penjarakkan sosial.
"Program itu turut dihadiri Pengarah HTAR, Dr Hasni Hanapi dan dianjurkan bersempena memartabatkan al-Quran, mengeratkan silaturahim serta menggantikan ibadah solat Jumaat yang terpaksa ditangguhkan berikutan penularan Covid-19," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff mendedahkan jumlah wakaf al-Quran diterima setakat hari ini adalah sebanyak 25,244 naskhah al-Quran.
Menurutnya, sasaran awal agihan hanya untuk sekitar 200 lokasi dari 2,774 lokasi termasuk 120 pusat kuarantin, namun WUIF terus menerima permohonan menggalakkan banyak pihak untuk mengaktifkan #QuranCorner di lokasi masing-masing.
"Kami mendapat banyak bantuan agihan lebih menyeluruh melalui kerjasama mantap dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, hospital serta wakil Rumah Ngaji Negeri untuk membantu inisiatif MengQurankan Bangsa dan MengIkhlaskan Ummah ini agar berjalan baik mengikut negeri masing-masing.
"#QuranCorner & Troli Ibadah telah mula diaktifkan di hospital dan berada di wad-wad, sementara sesi #QuranTime mengikut pendekatan Malaysia #QuranTime di TV AlHijrah juga telah mula diadakan di hospital.
"Semoga dengan pendekatan berinteraksi dengan al-Quran (baca, faham dan amal) akan membawa kita memahami apa mesej ALLAH kepada kita, menjadi terapi, merawat dan menyembuhkan kita," katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran boleh mendaftar di bit.ly/wakafquranhospital.
Bayaran wakaf sebanyak RM45 senaskhah boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamic 564276516031 dengan rujukan Wakaf Quran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!