Bahaya individu tak peduli ancaman Covid-19

No Image Caption
A
A
A

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak pernah berlaku di negara ini menyaksikan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertungkus lumus untuk memastikan semua rakyat negara ini mematuhi arahan yang dikuatkuasakan sejak hampir sebulan lalu.

Setakat ini, lebih 7,000 individu ditangkap kerana melanggar perintah tersebut yang bertujuan menghalang penyebaran wabak Covid-19 yang kini menjangkiti lebih 4,400 rakyat Malaysia.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pelbagai ragam dan alasan diberikan oleh golongan ingkar PKP tersebut semata-mata kerana enggan duduk di rumah.

Ada segelintir rakyat menganggap perbuatan kerap keluar rumah sebagai ‘macho’ terutama bagi anak muda yang tidak peduli tentang bahaya pandemik tersebut kepada diri dan keluarga mereka.

Dalam wawancara bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin dan Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa di pejabat Sinar Harian, Shah Alam baru-baru ini, Abdul Hamid turut menjelaskan mengenai kesiapsiagaan pihak polis jika PKP yang akan memasuki fasa ketiga minggu hadapan dilanjutkan untuk tempoh yang lebih lama lagi.

SINAR AHAD: Setakat hari ini bagaimana perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adakah Tan Sri berpuas hati dengan pematuhan orang ramai?

ABDUL HAMID: Saya amat berpuas hati dengan tahap pematuhan orang ramai. Saya nampak ada kesan. Orang ramai yang duduk di rumah begitu memberikan sokongan kepada usaha untuk mengetatkan lagi kawalan pergerakan ini. Saya sentiasa menghargai kesabaran orang ramai yang terus patuh. Bagi segelintir yang masih berdegil, sudah banyak kali saya katakan, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga.

Abdul Hamid ketika mengunjungi pejabat Sinar Harian baru-baru ini.
Abdul Hamid ketika mengunjungi pejabat Sinar Harian baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Apakah masalah segelintir orang yang masih tidak mahu mematuhi PKP?

Pertama, dia ingat kalau dapat menipu dan keluar rumah itu adalah perbuatan yang 'macho'. Maknanya dia dapat keluar, orang lain berkurung, saya rasa begitulah sikap golongan muda ini. Bagi golongan 18 tahun ke bawah, saya rasa mereka tidak peduli. Mereka tidak memahami bahaya dihadapi dan bahaya yang dia bawa kepada orang lain.

Sebab itu, saya menyeru kepada ibu bapa supaya sentiasa pantau anak-anak, jangan benarkan mereka keluar. Saya rasa lima peratus daripada lebih 7,000 individu yang ditangkap (kerana melanggar PKP) adalah di bawah umur 18 tahun.

Jadi, saya minta ibu bapa sentiasa perhatikan pergerakan anak mereka. Bagi pihak polis, apabila kita mendapati golongan ini berkeliaran, naik motosikal berdua, menghisap rokok di taman permainan atau tepi padang, mereka pasti akan ditangkap kerana melanggar undang-undang.

Kalau boleh, kita tidak mahu tangkap, tetapi disebabkan mereka sudah melanggar arahan, kita terpaksa tahan. Akibatnya, ada antara mereka kena penjara atau denda, atau bayar kompaun, bukankah mereka sendiri yang rugi?

Kemudian, ada satu kelompok lagi agaknya tidak sabar. Walaupun pagi sudah keluar, tengah hari dan petang mereka hendak keluar sekali lagi, begitu juga malam. Macam-macam alasan diberi, misalnya hendak isi minyak kereta sedangkan mereka boleh isi sekali saja dalam masa tiga atau empat hari, takkanlah hari-hari hendak isi minyak kereta.

Siapakah 7,000 orang yang ditangkap ini, apakah latar belakang mereka?

Kita ada data. Antara mereka ialah buruh dan pekerja kilang. Pegawai kerajaan ada 18 orang, anggota polis dua orang. Ada yang berkaraoke, bukan di rumah tapi di pusat karaoke. Dia buka khusus untuk kawan-kawan, mereka berlima dalam pusat karaoke tersebut, sebab itu kita tangkap. Kalau tak ditangkap, mereka akan menjadi satu contoh yang tidak baik.

Sebahagian tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth 31 Mac lalu.
Sebahagian tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth 31 Mac lalu.

Adakah kesedaran untuk mematuhi PKP itu sudah semakin baik sekarang?

Kesedaran semakin baik. Kalaulah segelintir (rakyat) ini dapat cepat sedar dan akhirnya mematuhinya, alangkah baiknya. Hari ini (Khamis lalu) data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cantik, dan dah turun begitu drastik sekali iaitu daripada 170 kes kepada 109 kes pesakit baharu yang disahkan positif Covid-19. Sekiranya angka ini dapat diturunkan lagi, itu tanda-tanda yang baik, bermakna penularan wabak ini mula dapat disekat.

Bagaimana dengan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Kuala Lumpur?

KKM sedang aktif menjalankan proses saringan dengan dibantu oleh PDRM dan tentera. Kita mahu pastikan semua penghuni di situ menjalani saringan. Kita anggap mereka berisiko tinggi, berbelas-belas orang sudah disahkan positif, maka yang lain juga dianggap berisiko tinggi. Bagi pihak PDRM serta tentera, kita akan pastikan tidak ada sesiapa yang terlepas keluar dari situ.

Kita mendirikan pos kawalan dan memasang kawat berduri. Ini bagi memastikan 100 peratus penghuni tidak keluar sehingga proses saringan selesai. Mereka terpaksa berkurung selama dua minggu.

Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dikawal ketat pasukan keselamatan akibat wabak Covid-19. Pelaksanaan PKP adalah sah mengikut Perlembagaan. - Foto Bernama
Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dikawal ketat pasukan keselamatan akibat wabak Covid-19. Pelaksanaan PKP adalah sah mengikut Perlembagaan. - Foto Bernama

Difahamkan, terdapat seorang penduduk di situ berjaya meloloskan diri daripada PKPD. Adakah ini benar?

Kita sedang mencarinya. Kalau dapat tangkap, kita akan dakwa dia di bawah akta yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun.

Kesalahan itu serius. Saya juga dimaklumkan di sebuah hotel di Selangor, ada seorang lelaki yang dikenakan perintah kuarantin tetapi enggan dirinya dibawa ke hospital sedangkan pihak kesihatan mendapati dia mempunyai gejala Covid-19 seperti batuk.

Selepas diberi amaran bahawa keengganannya itu merupakan satu kesalahan serius di bawah akta, barulah dia akur. Mula-mula dia tidak mahu pergi dan mengugut untuk saman pegawai kesihatan kononnya membuat dakwaan palsu kononnya dirinya pesakit Covid-19, sedangkan ujian saringan itu adalah langkah pertama demi keselamatan dan kesihatan dirinya sendiri.

Dia tak mahu pergi seolah-olah itu satu penghinaan terhadap dirinya. Dia ini orang Malaysia.

Apakah pihak polis sudah bersedia dengan pelanjutan tempoh PKP?

Polis sudah bersiap sedia khususnya di daratan. Kita juga perkemaskan kawalan di sepanjang pantai seperti di perbatasan Sabah dan Sarawak. Begitu juga di Langkawi, Kedah dan Tumpat, Kelantan.

Kita tidak mahu pendatang tanpa izin masuk kerana mereka 100 peratus tidak disaring. Kita tidak tahu sama ada dia bawa virus atau tidak di negaranya. Untuk tugasan di daratan, dari Semenanjung sampai Sabah dan Sarawak, kita sudah cukup kekuatan. Dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia, kita dapat kawal keadaan.

Bagaimanakah semangat anggota polis di lapangan ketika ini selepas hampir sebulan PKP?

Alhamdulilah, saya tidak ada dengar pegawai dan anggota mengeluh di bawah. Apabila kerajaan beri elaun, mereka bersyukur. Dari segi logistik, pada peringkat awal agak kurang kemas tetapi selepas beberapa hari, ia dapat diperkemas dengan membekalkan mereka dengan pelbagai peralatan.

Kita dapat bekalkan termometer tanpa sentuh kepada petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya untuk membantu membuat saringan pertama bagi pihak KKM bertujuan mengesan mereka yang mempunyai gejala demam.

Jadi, petugas di sekatan jalan raya ambil tanggungjawab melakukan saringan dan kami telah mendapat peralatan yang cukup untuk membuat saringan di sekatan jalan raya.

Antara lokasi SJR yang dilaksanakan IPD Petaling Jaya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekitar daerah terbabit sepanjang tempoh PKP.
Antara lokasi SJR yang dilaksanakan IPD Petaling Jaya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekitar daerah terbabit sepanjang tempoh PKP.

Di Selangor dan Kuala Lumpur, jumlah kes Covid-19 sangat tinggi iaitu merangkumi 43 peratus daripada keseluruhan kes di negara ini. Apakah tafsiran pihak polis mengenai perkara ini?

Ia nampak tidak cantik, bermakna Selangor dan Kuala Lumpur amat genting keadaannya. Sekiranya kita tidak ketatkan PKP, orang yang tidak tahu mereka adalah pembawa virus akan berkeliaran di mana-mana.

Paling bahaya kalau mereka pergi ke pusat beli-belah atau bank. Jejak-jejak daripada sisa badan mereka tertinggal pada segala yang mereka pegang di situ. Apabila orang lain datang dan pegang barang, alatan, tempat duduk atau pintu tadi, di situlah virus ini berjangkit.

Sebab itu amat penting untuk mereka terus duduk dan berkurung di rumah serta memeriksa diri sendiri. Jika ada gejala Covid-19, hubungilah pihak hospital untuk meminta bantuan. Pihak KKM pasti akan ambil tindakan sewajarnya daripada dia dibenarkan merayau-rayau.

Jika kita lihat apa yang sudah kita lakukan di Malaysia berbanding di Eropah, apa yang kita nampak daripada usaha kita itu?

Macam inilah, saya kalau cakap nanti takburlah pula. Sebenarnya kita yang paling hampir dengan China iaitu negara asal virus Covid-19. Kita terdedah kepada warga China, sebelum ini cukup ramai datang ke Malaysia. Dalam sehari, beribu-ribu pelancong China datang ke sini.

Tapi sekarang alhamdulillah, jumlah (kes positif Covid-19) itu seolah-olah tersekat di situ. Maknanya, pihak KKM sudah melakukan tugas dengan baik dan cemerlang, dapat mengekang wabak daripada merebak. Kes sembuh juga begitu tinggi peratusannya.

Sistem pengurusan kesihatan di Malaysia walaupun bukan dikatakan bertaraf dunia tapi cukup baik. Di Eropah, keadaannya teruk walaupun mereka negara maju. Di situ saja sudah berpuluh ribu yang mati.

Standard perkhidmatan kesihatan di Malaysia amat baik. Itu yang saya kagum. Pihak polis membantu untuk kurangkan risiko orang bergerak sehingga menyebabkan virus merebak dan menular dengan begitu cepat. Itu yang kita bantu.

No Image Caption

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah ada beritahu kalau boleh KKM tidak menggalakkan perhimpunan besar-besaran dalam tempoh enam bulan hingga setahun. Apakah pendirian polis?

Kita akan akur dengan apa juga pandangan dan arahan daripada KKM. Apa yang mereka rasakan patut buat, kita akan sokong mengikut undang-undang sedia ada. Semua bergantung pada pihak KKM.

Kalau hasil dapatan mereka mengatakan bahawa amat berisiko dalam waktu tiga bulan, enam bulan atau setahun, virus Covid-19 berpotensi merebak semula, kita akur. Tapi itu bukanlah bermakna lagi tiga bulan, enam bulan atau setahun kita akan dikenakan perintah PKP seperti sekarang.

Sekiranya keadaan bertambah baik, mungkin kerajaan akan melonggarkan PKP tetapi mesti diikuti syarat lain seperti tidak boleh berhimpun beramai-ramai.

Polis tidak akan keluarkan permit?

Pasti, polis tak akan keluarkan permit. Saya rasa tak ada sesiapa pun akan memohon sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin anjur satu perhimpunan besar-besaran.

Tak payah polislah, saya rasa orang ramai pun akan hentam, marah, kenapa degil sangat, dah KKM kata tidak baik, janganlah buat.

Sejak PKP, ada segelintir rakyat rakyat sudah mula tunjuk perasaan di media sosial. Apakah pandangan Tan Sri?

Masing-masing memang terasa tekanan tetapi yang penting kita boleh bersabar. Macam mana kita bersabar? Buatlah sesuatu yang berfaedah di rumah dengan keluarga seperti memasak.

Kita beruntung kerana zaman kita ada macam-macam kemudahan komunikasi, walaupun sanak saudara ada di Kelantan, kita boleh buat video call. Kita beruntung pada masa ini walaupun dalam keadaan terkurung, kita masih boleh berkomunikasi secara langsung dengan kenalan kita, saudara-mara kita, yang penting sekali bersabar.

Semua orang perlu bersabar. Nampak gayanya yang saya katakan 99 peratus orang yang mengikut undang-undang duduk di rumah, rata-ratanya mereka ialah orang yang sabar. Kalau ada pun yang meluahkan perasaan, itu seperti hendak hilang kesabaran.

Tapi jangan pentingkan diri kita. Tengok orang lain kenapa mereka boleh duduk dalam keadaan tenang, kenapa kita pula yang hilang sabar? Buatlah sesuatu yang baik.

Kadang-kadang ada sanak saudara kita yang terputus hubungan sekian lama, inilah masanya untuk menghubungi mereka semula. Lakukanlah sesuatu yang buatkan kita aktif. Jangan duduk di rumah makan tidur, makan tidur, tak sihat.

PKP sebenarnya bertujuan mahu selamatkan diri kita dan keluarga kita. Ia bukannya arahan untuk menyeksa sebaliknya menyelamatkan kita. Kalau kita ingkar, kita pentingkan diri, kita yang rugi. Sabar, semua orang merasai keperitan tapi tidaklah seperti duduk di dalam penjara lokap.

Satu jam di dalam lokap tidak sama satu bulan berkurung di rumah. Itulah ibaratnya, kalau nak dibandingkan satu jam di dalam lokap dia punya seksanya tak boleh sama satu bulan di rumah. Satu bulan di rumah ini banyak nikmat kalau dibandingkan satu jam di lokap

Jangan biarkan diri kita ditangkap dan jadi salah satu statistik orang ditangkap kerana langgar perintah PKP.

PROFIL

Nama: Tan Sri Abdul Hamid Bador

Jawatan sekarang: Ketua Polis Negara

Umur: 62 tahun (1958)

Asal: Rembau, Negeri Sembilan

Pendidikan: Diploma Sains Kepolisan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Isteri: Puan Sri Norazrin Marzuki

Anak: Dua orang

Tempoh berkhidmat dalam PDRM: 41 tahun

Pengalaman:

* Ketua Cawangan Khas Kelantan (2005)

* Ketua Cawangan Khas Sabah (2006)

* Ketua Penolong Pengarah Bahagian Inteligen Luar (2009)

* Timbalan Pengarah Cawangan Khas I (2010)

* Pengarah Cawangan Khas (2018)

Abdul Hamid ketika meninjau sekatan jalan raya Op Covid19 di Kampung Pandan baru-baru ini. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
Abdul Hamid ketika meninjau sekatan jalan raya Op Covid19 di Kampung Pandan baru-baru ini. - Foto Sharifudin Abdul Rahim

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!