86 pasangan Indonesia ikuti program `Itsbat Nikah'
KUALA LUMPUR – “Seperti baru nikah,” kata pasangan suami isteri Selamet Riadi, 38 dan isteri Siti Nur Fadilah, 34 yang berjaya mendaftar pada program permohonan pengesahan nikah yang digelar `Sidang Itsbat Nikah' di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di sini, hari ini.
Pasangan terbabit yang berasal dari Kalibaru Manis Jawa Timur dan Jakarta merupakan antara 86 pasangan yang mendaftar semalam dan hari ini dengan tema ‘Resmi dan Terlindungi’.
“Kami sudah tiga tahun nikah dan dikurniakan seorang cahaya mata dan berasa sungguh gembira kerana selesai membuat itsbat nikah pagi ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.
Pasangan Edy Suprayetno, 24, dan Santi Ekawati, 21, asal Sumatera Utara dan Jawa Timur, yang baru tiga bulan bernikah dan bekerja di Malaysia, pula berkata dengan adanya Buku Nikah, mereka akan lebih berasa selesa dan tenang untuk meneruskan hidup sebagai suami isteri di Malaysia dan Indonesia.
Acara berkenaan yang diadakan sejak semalam dirasmikan oleh wakil Duta Besar Republik Indonesia Krishna K.U. Hannan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan KBRI hari ini tujuan program itu adalah untuk memberikan perlindungan kepada pasangan warga Indonesia di Malaysia dengan memberikan kepastian hukum atas status pernikahan mereka.
“Saya berharap program dapat memberikan kepastian hukum atas status pernikahan para warga Indonesia di Malaysia, yang pada gilirannya akan memperjelas status kewarganegaraan dan hak-hak lainnya anak-anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut,” kata Krishna dalam kenyataan berkenaan.
Sidang itsbat nikah itu dibuat atas kerjasama KBRI Kuala Lumpur dengan Mahkamah Agung dan Pengadilan Agama Jakarta Pusat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!