PKP: Puasa, ibadat Ramadan lebih bermakna

Azhar Idrus
Azhar Idrus
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kurang dua minggu lagi sebelum seluruh umat Islam bakal menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan yang sememangnya dinantikan setiap tahun.

Selain melaksanakan ibadah puasa pada siang hari dan memperbanyakkan amal kebajikan, pasti ramai yang menantikan suasana bersolat sunat terawih di masjid atau surau.

Namun, keadaan tentunya amat berbeza bagi Ramadan tahun ini apabila umat Islam di negara ini berpuasa ketika menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Jumaat lepas bahawa tempoh PKP dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 28 April ini, dan umat Islam dijangka mula berpuasa dalam tempoh berkenaan.

Susulan itu, pelbagai reaksi orang ramai termasuk warganet yang menyuarakan pendapat berkenaan hikmah dan nikmat menyambut Ramadan ketika PKP dilaksanakan.

Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus turut berkongsi mengenai PKP yang memberi peluang umat Islam berpuasa dan beribadah dengan lebih bermakna kerana dapat menjauhi perkara maksiat yang mensia-siakan ibadah puasa.

"Kalau puasa lebih baik kita berkurung. Bila puasa semasa tiada PKP kita tubik (keluar) jadi macam-macam perkara pula bila kita bercampur dan lebih terdedah kepada perkara tidak elok, nak jaga pandangan mata dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi penstriman langsung dalam laman sosial Instagram rasmi masing-masing baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tempoh PKP khususnya dalam bulan Ramadan harus dilihat secara bijaksana dengan sudut pandangan yang penuh kebaikan serta manfaat sewaktu di akhirat.

"Bila puasa dalam keadaan terhindar daripada situasi yang berpengaruh buruk, inilah nikmat kerana pahala puasa dan amal ibadat kita lebih terjamin berbanding semasa tiada PKP," tambahnya.

Mengenai amalan solat sunat tarawih pada bulan Ramadan semasa PKP pula, beliau berkata, ia tidak menjadi masalah kerana boleh dibuat di rumah tanpa ke masjid atau surau.

"Nabi (Muhammad) SAW juga bersolat terawih seorang di rumah. Kemudian baru berjemaah di masjid, ini perkara biasa tak jadi masalah," katanya yang melihat PKP sebagai hikmah dan peluang bagi yang tidak pernah bersolat tarawih sebelum ini berpeluang menunaikannya secara berjemaah di rumah.

Sementara itu, Ayman Rashdan Wong menerusi Facebooknya berkata, hikmah di sebalik PKP ialah dapat menghayati erti Ramadan yang sebenar serta memanfaatkan tempoh itu untuk refleksi diri.

" 'Self -reflection' lebih berkesan jika kita menyendiri. Tiada masa lain yang lebih sesuai untuk amalkan cara hidup sunnah, makan secara minimum, solat on time (di awal waktu), tidur awal bangun awal, membaca al-Quran dan berzikir sementara tunggu azan maghrib.

"Sesungguhnya, Covid-19 adalah 'reset button’ untuk ingatkan manusia tentang kemanusiaan, dan kembalikan manusia kepada asas fitrah," katanya.

Pengguna Facebook Ariel Hassan berkata, bulan Ramadan sepatutnya menginsafkan manusia dan merasai kesusahan orang lain yang kurang mampu.

"Tapi kita di Malaysia bermewah-mewah sehingga membazir, waktu berbuka beli macam-macam dan makan sampai kekenyangan, solat pun 'gone' (tidak dilakukan). PKP ini besar hikmah, bila duduk rumah makan apa yang ada solat pun terjaga," katanya.

Maizaton Othman menerusi Facebooknya berkata, jika sebelum ini ramai yang sekadar berazam mulia di bulan Ramadan tetapi tidak mampu mengotakannya, namun hikmah PKP adalah peluang melaksanakan azam beribadah secara lebih sempurna.

"PKP mengajar manusia memanfaatkan bulan Ramadan yang sebenar, lebih-lebih lagi orang muda, bila puasa bebas bergaul, bufet Ramadan, iftar bersama kawan-kawan, sambung pula sahur beramai-ramai di kedai makan, puasa entah ke mana, solat tarawih pula jarang sekali," tulis seorang pengguna Facebook dengan nama Hafiz FIZ.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!