Martion KT agih 1,000 roti john percuma
KUALA TERENGGANU - Restoran yang menyajikan masakan ala barat, Martion cawangan Kuala Terengganu akan mengagihkan 1,000 roti john percuma bagi meraikan jurugambar dan pengembala cilik, Muhammad Syukur Khamis.
Majlis dalam suasana santai itu dijadualkan akan diadakan di restoran itu pada 20 Januari ini (Ahad) bermula jam 3 petang hingga 9 malam.
Selain tetamu istimewa, jurugambar dan Muhammad Syukur; majlis itu dijangka akan dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin nombor satu negeri, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pemilik restoran, Amri Yaman, 32, berkata, majlis itu diadakan untuk menghargai usaha jurugambar dan Muhammad Syukur dalam mengharumkan nama Terengganu hingga dikenali di peringkat antarabangsa.
"Saya kira ini sebagai sokongan kepada mereka yang berjaya terutama kepada para jurugambar dan adik Syukur sendiri.
"Agihan sebanyak 1,000 roti john itu pula adalah 'hadiah' kepada orang ramai dan warga Kuala Terengganu yang menyokong usaha-usaha mengangkat nama Terengganu ke persada dunia," katanya.
Amri berkata, sebanyak 500 roti john akan mula diagih pada jam 4 hingga 5 petang dan selebihnya akan diagih pada sebelah malam.
Mengulas mengenai agihan 1,000 roti john itu, katanya, pihaknya ada mendapatkan khidmat pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi mengawal lalu lintas.
"Kita ada sediakan khidmat Rela pada hari berkenaan memandangkan kawasan parkir kenderaan di restoran kami yang terletak di Jalan Pejabat, di sini, agak terhad.
"Jadi orang ramai boleh datang untuk ambil roti john percuma ini.
"Selain itu, sesiapa yang ingin sertai majlis barbeque pada sebelah malam dialu-alukan dan boleh berbuat demikian sekiranya masih ada kekosongan tempat" katanya.
Amri berkata, majlis itu turut mendapat kerjasama daripada lapan agensi lain iaitu Kambing Bakar Guang Zhou (KBGZ), MSR Event Manangement, TY Hotel, Duta Ayam, Fafa Sweet House, Cucco, CONTIXPERT dan Rizq Agrogenius Sdn Bhd.
"Saya harap majlis ini akan berjalan lancar dengan harapan tetamu istimewa dan jemputan khas dapat meluangkan masa untuk bersama-sama dengan kita semua," katanya.
Martion Kuala Terengganu telah beroperasi selama empat bulan dan merupakan cawangan kedua restoran itu.
Cawangan pertama yang merupakan ibu pejabat restoran itu telah beroperasi selama empat tahun di Jalan Pantai Sura, Dungun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!