Man U perlu bawa masuk Kane
BEKAS bintang England dan Liverpool, Danny Murphy menyifatkan Manchester United perlu membawa masuk penyerang Totenham Hotspurs, Harry Kane walau dengan apa juga cara sekalipun.
Murphy berkata, dalam keadaan sekarang, pihak pengurusan United perlu memberikan keutamaan untuk membawa masuk penyerang kebangsaan England itu.
Malah menurut Murphy, wang tidak sepatutnya menjadi penghalang buat skuad The Red Devils itu membawa masuk penyerang berusia 26 tahun ke Old Trafford.
"Manchester United kian hampir untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan juga Liga Juara-Juara berbanding apa yang difikirkan orang ramai.
"Biarpun United bakal mencatat rekod pembelian pemain, ia pasti berbaloi kerana Kane seorang penyerang berkelas dunia dan bakal melengkapkan skuad The Red Devils itu.
"Ibarat permainan jigsaw, keratan terakhir adalah seorang penyerang tengah. Kita tahu dan mereka tahu mengenainya apabila cuba membawa masuk bintang muda, Erling Haaland, Januari lalu," katanya.
Kane sebelum ini dilaporkan sedang mengintai peluang untuk meninggalkan Spurs, sekiranya kelab berkenaan dilihat tidak memiliki sebarang perancangan untuk masa hadapan.
Difahamkan, berita berkenaan sekali gus mengaitkan perpindahannya ke United yang telah lama mengimpikan untuk memiliki Kane.
Sementara itu Murphy berkata, kelab kaya seperti United seharusnya menggunakan kekayaan yang ada untuk memiliki Kane.
Katanya, Kane mampu untuk mengubah status United daripada pasukan yang memiliki 'potensi' kepada pasukan pencabar yang sebenar, khususnya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Mereka (United) adalah kelab terkaya di Englad. Oleh itu, jika berpeluang untuk menggunakan kelebihan kewangan yang dimiliki, mereka sepatutnya menggunakannya bagi membawa masuk penyerang terbaik di negara ini (Kane), jauh dari Totenham," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!