PH gesa kerajaan wujud skim khas bantuan pusat ECCE
SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan agar mewujudkan skim khas pusat penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak (ECCE) melibatkan subsidi yuran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemudahan ECCE kepada petugas barisan hadapan.
Menurut kenyataan ditandatangani bersama oleh Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip; Senator Dewan Negara Parti Amanah Negara (Amanah), Aiman Athirah Al-Jundi; dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching itu, perkara itu wajar diberi pertimbangan segera susulan keputusan lanjutan PKP sehingga 28 April ini.
"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pusat ECCE tidak dibenarkan untuk beroperasi. Meskipun pengendali dapat menikmati penjimatan dari segi kos elektrik, air dan makanan, mereka masih perlu membayar gaji pekerja dan menanggung bayaran sewa premis.
"Dalam masa sama hanya sesetengah pusat ECCE memberi potongan yuran kepada ibu bapa itupun hanya dengan 10 hingga 25 peratus sahaja.
"Tambah pula, susulan keputusan kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi terpilih untuk menyambung semula operasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat sepanjang tempoh PKP dijangkakan lebih ramai ibu bapa yang akan memerlukan khidmat pusat ECCE," katanya.
Menerusi kenyataan itu, PH juga menggesa kerajaan mengambil contoh pendekatan yang diambil oleh kerajaan Australia dan Singapura dalam menangani permasalahan tersebut.
Menurutnya, kerajaan Australia membayar sebanyak kira-kira 50 peratus daripada yuran bulanan biasa kepada pusat jagaan kanak-kanak dan pengendali pusat ECCE tidak dibenarkan mengenakan apa-apa bayaran kepada ibu bapa; semuanya ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan.
"Pada masa yang sama, kerajaan Australia juga membenarkan pusat jagaan kanak-kanak untuk terus beroperasi dan memberikan keutamaan kepada pekerja dalam sektor penting, kanak-kanak yang terdedah kepada ancaman bahaya serta datang dari keluarga kurang berkemampuan.
"Di Singapura, perkhidmatan jagaan kanak-kanak disediakan untuk petugas barisan hadapan serta pekerja dalam sektor penting sepanjang tempoh 'circuit breaker'.
"Oleh itu, kami percaya sebuah skim khas untuk perkhidmatan penjagaan kanak-kanak perlu disediakan dengan kadar segera kerana ia bukan sahaja akan menyelesaikan perselisihan faham yang timbul antara ibu bapa dan pengendali, malah akan menjadikan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak lebih teratur dan terurus untuk petugas barisan hadapan serta pekerja dalam sektor penting," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!