Hina PDRM, ATM: Pemuda UMNO Raub buat laporan polis

Fadzli menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Raub di sini hari ini.
Fadzli menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Raub di sini hari ini.
A
A
A

RAUB - Pemuda UMNO Bahagian Raub hari ini membuat laporan polis terhadap tindakan seorang pengguna Facebook yang memuat naik kenyataan biadab terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pemudanya, Fadzli Mohamad Kamal berkata, beliau kesal dan menyifatkan kenyataan individu tersebut secara terang-terangan menghasut rakyat supaya membenci pihak keselamatan khususnya PDRM dan ATM.

"Kenyataan dia berniat jahat dan bertujuan menimbulkan huru-hara serta keresahan dalam kalangan masyarakat kerana mengajak rakyat memberontak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berhimpun di jalanan," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub kira-kira jam 11 pagi tadi.

Tambahnya, pihak PDRM dan ATM telah melakukan banyak pengorbanan besar selaku barisan hadapan dalam tempoh PKP.

"Mereka sanggup berpanas, berhujan, berkawal siang malam semata-mata untuk memastikan keselamatan seluruh rakyat Malaysia sehingga tidak dibenarkan bercuti bersama keluarga masing-masing.

"Belajarlah erti syukur dan berterima kasih. Jangan hanya tahu merungut dan mencari salah," tegasnya lagi.

Dalam pada itu beliau berharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan segera dan tegas ke atas individu terbabit.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!